EKONOMI

Maybank Raikan Pemenang Pertandingan Seni MyTIGER Values Kesembilan Di Stadium Merdeka

22/05/2026 12:52 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Maybank Foundation, cabang impak sosial Malayan Banking Bhd baru-baru ini meraikan pemenang pertandingan dan pameran seni MyTIGER Values Art Competition and Exhibition (MTVACE) 2026 edisi kesembilan di Stadium Merdeka, yang menampilkan hasil karya 36 pelajar dari seluruh negara.

MTVACE 2026 yang berlangsung dari 9 Mac hingga 20 April menampilkan kategori sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti, dengan para pemenang berkongsi hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM55,500.

“Inisiatif ini menyediakan platform kepada para pelajar untuk mentafsir nilai TIGER Maybank iaitu Kerja Berpasukan, Integriti, Kemajuan, Kecemerlangan dan Keberkesanan, serta Menjalin Perhubungan menerusi karya seni visual.

“Pada masa sama ia turut meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan usaha pemuliharaan harimau serta keutamaan kemampanan yang lebih luas sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG),” kata yayasan itu dalam satu kenyataan.

Dengan kerjasama Kakiseni, pertandingan ini berjaya menarik 3,213 penyertaan daripada 341 sekolah dan institusi pembelajaran di seluruh negara, merangkumi peringkat rendah, menengah dan pengajian tinggi serta individu daripada komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).

Pelancaran MTVACE 2026 dihadiri Pengerusi Maybank, Zamzamzairani Mohd Isa; Ketua Pegawai Kemampanan Maybank, Shahril Azuar Jimin; Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif World Wide Fund for Nature Malaysia (WWF-Malaysia), Sophia Lim; serta anggota Lembaga Pemegang Amanah Maybank Foundation dan Lembaga Pengarah Maybank.

Dalam ucapan pembukaannya, Zamzamzairani berkata MTVACE berkembang menjadi platform bermakna bagi pelajar dan golongan muda untuk menjadi suara advokasi terhadap kelangsungan Harimau Malaya.

“Menerusi kuasa seni dan penceritaan, kami membentuk generasi yang bukan sahaja menghargai kreativiti, malah memahami peranan mereka dalam meningkatkan kesedaran pemuliharaan, empati serta tanggungjawab bersama terhadap warisan semula jadi negara,” katanya.

Sementara itu, Shahril berkata program itu memperkasa bakat kreatif muda untuk menjadi penyokong masa depan yang lebih mampan dan berperikemanusiaan, selaras strategi ROAR30 Maybank Group serta misi impak sosialnya dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat.

“Karya yang dipamerkan di sini mencerminkan kekuatan generasi baharu untuk memimpin dengan empati, kreativiti dan keyakinan, di samping meningkatkan kesedaran serta tanggungjawab bersama terhadap pemuliharaan alam sekitar dan kemajuan sosial,” katanya.

Antara pemenang ialah penerima hadiah pertama kategori ilustrasi universiti, Amelia Mimie Anak Michael, 26, dari TVET Mara Rembau, yang berkata pertandingan itu mencabarnya melihat seni sebagai platform advokasi.

“Mentafsir tema seperti tindakan iklim dan integriti menerusi seni berurutan mendorong saya secara kreatif dan peribadi, sekali gus mengukuhkan matlamat saya sebagai pencerita visual yang berharap dapat menginspirasi kesedaran dan empati menerusi karya saya,” katanya.

Pemenang hadiah pertama kategori sekolah rendah, Tan Zhi Qi, 10, dari SJK (C) Foon Yew 1 berkata beliau mahu hasil karyanya menunjukkan bahawa kanak-kanak juga mampu memainkan peranan dalam melindungi alam semula jadi dan harimau Malaya.

“Lukisan saya adalah ikrar visual untuk masa depan yang lebih mampan dan prihatin, bersama-sama  bekerjasama dengan masyarakat untuk melindungi haiwan, hutan dan warisan bersama kita.

"Menerusi pertandingan ini, saya belajar bahawa tindakan dan idea kecil juga mampu memberi impak besar, sambil menggalakkan lebih ramai golongan muda untuk menghargai dunia di sekeliling kita,” katanya.

Pameran yang menampilkan lukisan, ilustrasi, pengimejan foto dan seni berurutan itu dibuka kepada orang ramai dari 15 Mei hingga 7 Jun, bermula 10 pagi hingga 5 petang setiap hari di Stadium Merdeka.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan dan pameran MyTIGER Values Art and Design Competition boleh diperoleh menerusi laman web www.maybankfoundation.com.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan