KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan tahniah kepada syarikat pembetungan nasional Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd yang merangkul pengiktirafan pada Anugerah Air Global 2026 di Madrid, Sepanyol baru-baru ini.
Beliau berkata kejayaan IWK itu mencerminkan komitmen tinggi Malaysia dalam memperkukuh pengurusan air dan sanitasi secara mampan selaras dengan Agenda Pembangunan Mampan (SDG) 2030.
“Semoga kejayaan ini terus menyuntik semangat untuk memperkukuh usaha membina negara yang lebih lestari, inklusif dan sejahtera demi generasi akan datang,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.
Selasa lepas, IWK dinobatkan juara kategori Anugerah Matlamat Pembangunan Mampan 6 (SDG 6) pada Anugerah Air Global 2026 yang diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak Air Global.
Anugerah berkenaan bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang, kepimpinan dalam kelestarian serta inovasi teknologi dalam industri air global.
Anugerah yang disampaikan Global Water Intelligence (GWI) itu mengiktiraf penyertaan IWK bertajuk Solar-powered Sanitation: No Upfront Cost, Cuts Emissions, yang mempamerkan penggunaan tenaga boleh diperbaharu mampu memperkukuh prestasi operasi rawatan air sisa kumbahan, di samping memacu pembangunan infrastruktur mampan serta memperkukuh daya tahan kewangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial