EKONOMI

Ytl, Nvidia Bina Infrastruktur Ai Untuk Superkomputer Terpantas Pertengahan 2024

08/12/2023 08:47 PM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- YTL Power International Berhad (YTL) mengumumkan kolaborasi dengan syarikat teknologi multinasional Amerika Syarikat (AS) Nvidia Corp untuk membina infrastruktur kecerdasan buatan (AI) yang akan membawakan superkomputer terpantas di Malaysia menjelang pertengahan 2024.

Dalam kenyataan hari ini, YTL berkata ia akan menggunakan Unit pemprosesan grafik (GPU) Teras Tensor Nvidia H100, yang menggerakkan pusat data AI termaju pada masa ini dan menggunakan perisian Nvidia AI Enterprise untuk memperkemas penghasilan AI.

Menurutnya pengumuman itu dibuat ketika pertemuan antara pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Jensen Huang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Turut hadir semasa pertemuan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengarah Urusan YTL Datuk Yeoh Seok Hong, katanya.

Bercakap selepas pertemuan itu, Tengku Zafrul berkata, “Kami mengalu-alukan kerjasama antara YTL dan Nvidia, satu kolaborasi strategik yang tepat, yang disasarkan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

“Dengan menawarkan khidmat superkomputer awan dan memanfaatkan AI untuk memperkasa inovasi, kerjasama sebegini tentunya akan merangsang kerumitan ekonomi dan membuka laluan kepada kita untuk menjadi negara berteknologi dan berpendapatan tinggi, yang akan meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini,” katanya.

YTL berkata perisian Nvidia AI Enterprise melibatkan Nvidia NeMo, satu kerangka natif-awan yang lengkap untuk membina, mengubah suai dan menggunakan model AI generatif dari mana-mana.

“GPU Nvidia H100 menjadi peneraju industri AI generatif dan mampu meningkatkan model bahasa yang besar (LLM) dengan peningkatan 30 kali berbanding GPU generasi sebelum ini,” katanya.

Infrastruktur AI akan disimpan di pusat data teknologi hijau YTL di Kulai, Johor, kemudahan 500 megawat yang dibangunkan YTL, manakala YTL Communication Sdn Bhd selaku syarikat telekomunikasi subsidiari YTL akan memiliki dan menguruskan infrastruktur AI yang akan menyediakan perkhidmatan pengkomputeran AI kepada rakyat di negara ini.

YTL Communications memiliki dan menguruskan rangkaian mudah alih negara dan syarikat pertama yang menawarkan perkhidmatan 4G dan 5G di negara menerusi jenama “Yes”.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan