JENAYAH & MAHKAMAH

Ops Tiris : 638 Individu Ditahah, 6.5 Juta Diesel Dirampas Sejak 1 Mac

08/12/2023 07:55 PM

PUTRAJAYA, 8 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan 638 individu dan merampas  6.5 juta liter diesel bersubsidi dengan rampasan keseluruhan bernilai RM88.88 juta menerusi Ops TIRIS sejak 1 Mac hingga Rabu lepas.

 Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata jumlah tangkapan dalam tempoh berkenaan melibatkan 531 warga tempatan, 105 warga asing dan dua individu pemastautin tetap dalam 14,529 pemeriksaan di seluruh negara.

"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 767 kes telah berjaya dihasilkan oleh pihaknya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, menerusi operasi tersebut, KPDN Selangor berjaya menumpaskan  aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah premis di Klang, Selangor, Rabu lepas.

Dalam serbuan jam 2.30 pagi itu, katanya, anggota penguat kuasa KPDN Selangor merampas 12,100 liter diesel, dua buah lori serta beberapa peralatan yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel dengan nilai keseluruhan RM218,015.

Katanya, empat lelaki  termasuk dua pekerja warga asing di premis berkenaan serta pemilik lori berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

"Modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan sebuah lori 'bonded' yang telah diubah suai dengan tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Containers' (IBC) bagi membeli minyak diesel bersubsidi di stesen minyak sekitar Lembah Klang yang kemudiannya dibawa ke stor haram itu untuk dipindahkan ke sebuah lori tangki yang lain sebelum dijual di pasaran," katanya.

Azman berkata kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut kes berkenaan sedang dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan tersebut.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan