AM

Bekalan Barangan Asas Di Perak Cukup Menjelang Tahun Baharu Cina - Exco

20/02/2026 06:52 PM

IPOH, 13 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak memberikan jaminan bekalan barangan asas di seluruh negeri mencukupi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, sekali gus membantu menstabilkan harga dan mengelakkan kenaikan mendadak. 

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak Woo Kah Leong berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak akan memainkan peranan bagi memastikan bekalan makanan terus stabil, dan tidak berlaku masalah kekurangan bekalan barang keperluan utama.

Beliau berkata hasil pemantauan mendapati bekalan keperluan asas seperti ayam, telur dan barangan makanan lain bukan sahaja mencukupi, malah ada yang melebihi permintaan semasa musim perayaan.

"Keadaan bekalan yang stabil itu penting kerana ia mengurangkan ruang kepada pihak tertentu untuk menaikkan harga secara mendadak.

“Selagi bekalan mencukupi, harga barangan tidak mempunyai ruang untuk dinaikkan secara melampau, selain menjadi faktor utama dalam memastikan kestabilan harga sepanjang musim perayaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran dan Sesi Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 di Pasar Besar Ipoh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Woo berkata seperti kelaziman, kerajaan akan melaksanakan SHMMP sempena Tahun Baharu Cina melibatkan 15 jenis barangan kawalan, selain menasihatkan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara melampau. 

"KPDN Perak melalui rangkaian cawangannya menjalankan pemeriksaan setiap hari di seluruh negeri bagi memastikan rantaian bekalan sentiasa lancar dan sebarang kekurangan dapat ditangani segera.

"Penguatkuasaan tetap dijalankan, tetapi kita lebih menekankan nasihat dan peringatan, namun jika terdapat aduan awam yang berterusan, pihak KPDN tiada pilihan selain mengambil tindakan," katanya. 

Mengenai bekalan ikan bawal putih yang menjadi pilihan masyarakat Cina, Woo berkata terdapat peniaga yang tidak menjual ikan itu kerana menganggap harganya mahal, namun barangan itu boleh didapati di pasar raya besar pada harga kawalan yang ditetapkan kerajaan.

“Bekalan ikan sebenarnya mencukupi dan tidak menjadi masalah. Jika sesuatu barang tiada di satu tempat, pengguna boleh membuat pilihan di lokasi lain," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan