AM

1,898 Program Jualan Rahmah MADANI Sepanjang Ramadan - Armizan

19/02/2026 05:33 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menganjurkan 1,898 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di seluruh negara sepanjang Ramadan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata semua PJRM  menawarkan barangan basah dan kering yang menjadi keperluan berbuka puasa termasuk untuk membuat kuih.

Beliau berkata PJRM antara intervensi kerajaan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat dan menyantuni keperluan komuniti, khususnya golongan yang memerlukan termasuk dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Perbelanjaan pastinya akan bertambah maka program seperti PJRM amat penting sebagai pilihan mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.

“KPDN amat berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Kewangan yang telah meluluskan peruntukan khusus sejak beberapa tahun ini untuk menginstitusikan PJRM sebagai antara inisiatif menangani kos sara hidup,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Menerusi hantaran sama, Armizan berkongsi aktiviti turun padang meninjau operasi sebuah pasar raya di Pandan Indah, Selangor yang melaksanakan PJRM.

Armizan berkata dalam tinjauan itu, pengurus pasar raya memaklumkan sejak aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak dilaksanakan, premis tersebut berjaya mendapatkan sumber bekalan lebih banyak berbanding dahulu termasuk  20,400 peket minyak masak pada Januari lepas.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan