AM

Pr1ma Cadang Bekerjasama Dengan Masdar Bangunkan Kediaman Mampan

08/12/2023 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- PR1MA Corporation Malaysia (PR1MA) mengemukakan kertas cadangan kepada Abu Dhabi Future Energy Company (Masdar), satu daripada syarikat tenaga boleh baharu terkemuka di dunia, mengenai hasrat untuk bekerjasama dalam meningkatkan kemampanan komuniti dan kediaman PR1MA.

Kertas cadangan itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Anggota Perbadanan PR1MA Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff kepada Presiden Pengarah Masdar Indonesia Fatima Al Madhloum Al Suwaidi dalam satu majlis di Dubai baru-baru ini, yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

PR1MA dalam kenyataan hari ini memaklumkan cadangan itu menggariskan hasrat untuk meneroka kerjasama dengan tujuan mengintegrasikan teknologi tenaga bersih termaju Masdar ke dalam komuniti dan pembangunan PR1MA.

"PR1MA dan Masdar boleh meneroka pembangunan dasar dan rangka kerja yang menyelaraskan daya maju komersial dengan tanggungjawab ekologi bagi manfaat rakyat Malaysia, khususnya penduduk di pembangunan PR1MA.

"Perkongsian yang dicadangkan itu akan melihat kepada membangunkan keupayaan PR1MA untuk memacu agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan tenaga bersih dalam komuniti dan pembangunan PR1MA. 

"Selain objektif alam sekitar dan sosial, PR1MA dan Masdar mungkin melihat ke arah membangunkan pembangunan pintar dan projek ESG yang mampan dan berdaya maju dari segi ekonomi," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Nga berkata beliau percaya cadangan perkongsian antara PR1MA dengan Masdar ialah batu loncatan utama dalam menjadikan rumah lestari satu realiti buat komuniti di seluruh Malaysia dan menantikan hasil daripada kerjasama strategik antara PR1MA dengan Masdar itu.

"Hal ini selaras dengan aspirasi kerajaan MADANI kerana ia menggalakkan inovasi dalam bidang kemampanan untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat, mobiliti, pembangunan ekonomi, keselamatan awam dan kualiti hidup secara keseluruhannya," katanya dalam kenyataan sama.

Dalam pada itu, Mohd Nazri dalam kenyataan itu berkata kerjasama antara PR1MA dengan Masdar mampu membentuk masa depan yang mampan terutamanya kepada pembangunan PR1MA.

"Kami teruja dengan impak positif kerjasama kami yang berpotensi memberi kesejahteraan kepada komuniti dan penduduk PR1MA serta bagaimana kita boleh mengintegrasikan pembelajaran ini ke dalam projek masa depan seperti Bandar Mini PR1MA di Teluk Intan, Perak," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan