Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ASEAN Pertimbang Naik Taraf Turkiye Kepada Rakan Dialog Penuh - Mohamad

11/07/2025 11:09 AM

Oleh Noor Bakhtiar Ahmad

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- ASEAN sedang mempertimbangkan untuk menaik taraf hubungan dengan Turkiye daripada rakan dialog sektoral kepada rakan dialog penuh dalam masa terdekat, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata sebagai rakan dialog sektoral Turkiye telah memainkan peranan yang baik dalam pelbagai bidang termasuk teknologi, keselamatan, pertahanan, pertanian serta menawarkan biasiswa kepada pelajar dari negara-negara ASEAN.

“Jadi kita menimbangkan bagaimana cara untuk kita membawa Turkiye sebagai ahli penuh rakan dialog ASEAN pada masa yang terdekat. Insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Tiga Hala antara Malaysia, Turkiye dan Sekretariat ASEAN, di sini, Jumaat.

Mesyuarat kira-kira 30 minit itu turut disertai Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan dan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

Ia diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM-58) dan mesyuarat berkaitan.

Sementara itu, Mohamad berkata banyak negara menyatakan hasrat untuk menjadi rakan dialog sektoral dan rakan dialog penuh ASEAN.

“Banyak negara yang mahu, memohon serta menunggu untuk menjadi rakan dialog sektoral dan rakan dialog penuh ASEAN. 

“Tetapi kita ada moratorium kerana dah terlampau banyak sangat (permohonan),” katanya.

Katanya ASEAN kini mempunyai 11 rakan dialog, dan sebarang penambahan perlu diteliti agar tidak membebankan struktur sedia ada.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, merangkumi 24 mesyuarat peringkat menteri, termasuk pertemuan dengan rakan dialog ASEAN dan rakan dialog sektor yang berlangsung selama empat hari sejak Selasa. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan