AM

Kerjasama Rusia-ASEAN Perkukuh Kestabilan Di Rantau Asia-Pasifik

10/07/2025 09:48 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Kerjasama Rusia-ASEAN menyumbang secara signifikan kepada kestabilan di rantau Asia-Pasifik, kata Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov.

Beliau berkata memandangkan tahun hadapan akan menandakan ulang tahun ke-35 hubungan Rusia-ASEAN, hubungan itu kini telah mencapai tahap yang yang lebih jauh berbanding sebelumnya.

“Kini agak selamat untuk mengatakan bahawa ASEAN benar-benar rakan yang boleh dipercayai dan rakan kongsi yang sehaluan dengan Rusia,” katanya dalam ucapannya yang telah disampaikan dalam bahasa Rusia pada Persidangan Pasca Menteri ASEAN-Rusia yang berlangsung di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan, di sini pada Khamis.

Terjemahan dalam Bahasa Inggeris telah disediakan di laman web rasmi Kementerian Luar Rusia.

Lavrov berkata ASEAN dan Rusia disatukan oleh komitmen mereka terhadap kerjasama antarabangsa yang meluas dan saksama, berasaskan kepada Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta prinsip-prinsip saling berkaitan yang digariskan dalam piagam tersebut.

“Untuk bahagian kami, kami secara konsisten menyokong peranan kepusatan 10 negara ASEAN dalam hal ehwal serantau,” katanya.

Lavrov berkata penerimaan kertas dasar baharu Rusia-ASEAN bagi tempoh 2026-2030 bertujuan untuk memajukan objektif itu.

“Dokumen ini akan menggariskan objektif semasa serta bidang kerjasama yang menjadi keutamaan,” katanya.

Lavrov kini berada di Kuala Lumpur menghadiri Persidangan Pasca Menteri ASEAN bersama Rusia, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur ke-15 dan Forum Serantau ASEAN (ARF) ke-32, yang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai.

Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Rusia menjalin hubungan dengan ASEAN pada 1991 dan menjadi rakan dialog sepenuhnya pada 1996.

Pada 2018, kedua-dua pihak meningkatkan hubungan itu kepada Perkongsian Strategik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan