SUKAN

Padang Becak Bantu Negeri Sembilan Benam Kelantan United 4-0

02/12/2023 01:42 AM

KOTA BHARU, 1 Dis (Bernama) -- Negeri Sembilan FC (NSFC) membenam Kelantan United FC  (KUFC) 4-0 pada perlawanan tunggal Liga Super 2023 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam ini.

Perlawanan tersebut terpaksa ditangguhkan selama sejam setengah berikutan air bertakung di atas permukaan padang susulan hujan lebat sejak petang tadi.

Keadaan padang becak tidak menjadi halangan anak buah K.Devan memperolehi jaringan pertama pada minit ke-16 menerusi Herold Goulon apabila mudah menolak masuk bola sepakan penjuru rakan sepasukan.

Negeri Sembilan memperolehi jaringan kedua pada minit ke-25 menerusi Mohamad Hasbullah Abu Bakar selepas melakukan gerakan solo dalam kotak penalti melepasi benteng pertahanan KUFC sebelum mudah menolak masuk bola ke gawang.

Pemain tengah R. Barathkumar menambah jaring ketiga pasukan pelawat pada minit ke-42 apabila bijak melambung bola dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol KUFC, Muhammad Ilham Amirrullah untuk kedudukan 3-0 pada babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua menyaksikan KUFC lebih agresif melakukan gerakan untuk membolosi benteng pertahanan Negeri Sembilan dengan banyak bermain hantaran bola jauh ke kawasan lawan.

Negeri Sembilan tidak hanya mempertahankan tiga gol yang diperolehi separuh masa pertama namun lebih menguasai permainan dengan mencipta beberapa peluang menambah jaringan.

Barathkumar menghadiahkan gol keempat pada minit ke-65 menerusi rembatan dalam kotak penalti menewaskan Muhammad Ilham.

Pemain gantian KUFC, Ariff Ar-Rasyid dilayangkan kad merah pada minit ke-76 apabila menjatuhkan pemain tengah Negeri Sembilan, A. Selvan yang memperolehi peluang menambah jaringan kelima pasukan pelawat. 

Keputusan tersebut menyaksikan NSFC menduduki tangga kesembilan liga dengan 27 mata manakala KUFC di tangga ke-12 dengan 14 mata selepas 25 perlawanan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan