AM

MA63: PELAKSANAAN SEPENUHNYA HAK SABAH DALAM RUNDINGAN, PERBINCANGAN BAWAH MTPMA63

29/11/2023 04:14 PM

KOTA KINABALU, 29 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan sepenuhnya hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih dalam perbincangan dan pelaksanaan di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63), persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata proses itu perlu melalui beberapa peringkat yang melibatkan aspek perundangan, pentadbiran kewangan, struktur organisasi dan perkara-perkara lain. 

Beliau berkata perkara di bawah MA63 yang telah selesai dan dilaksanakan adalah Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi Perkara 1(2) dan Perkara 160(2), Pemberian Kuasa Mengenai Pelesenan dan Penangkapan Ikan Laut Dalam Kepada Kerajaan Negeri Sabah serta Penyerahan Kuasa ke atas Pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Kerajaan Sabah.

Selain itu, Penyerahan Kuasa Kawal Selia Gas, Pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sebagai Jabatan Teknikal di bawah AP182, Pelantikan wakil Kerajaan Negeri Sabah sebagai ahli Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Penyerahan kuasa kawal selia pembekalan elektrik kepada Kerajaan Sabah pada 3 Jan tahun depan, katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Dr Yusof Yacob (GRS-Sindumin) berhubung status perlaksanaan mengenai hak-hak Sabah seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan perkara-perkara yang telah dipersetujui dan dilaksanakan.

Nizam berkata Kerajaan Sabah masih meneruskan perbincangan pelaksanaan pemberian khas daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, dan pendirian kerajaan negeri dalam tuntutan itu kekal sama.

“Pemberian khas yang dituntut adalah berdasarkan formula yang termaktub di bawah Seksyen 2(1), Bahagian IV, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan iaitu bersamaan dengan 40 peratus daripada amaun hasil bersih yang diperoleh oleh Kerajaan Persekutuan dari Sabah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Yong Teck Lee (GRS-ADUN Dilantik) mengenai punca kelewatan kerja pemulihan laluan kereta api di Beaufort-Tenom berkata kelewatan dalam menyelesaikan masalah berkenaan adalah bersifat kontraktual. 

“Pada peringkat awal, pihak Kementerian Kerja Raya Sabah dan Jabatan Kereta Api Negeri Sabah ada bercadang untuk melaksanakan kerja pembaik pulihan berkenaan dengan segera melalui peruntukan kerja-kerja kecemasan mengikut peraturan-peraturan yang sedia ada.

“Bagaimanapun, Jabatan Kereta Api telah dinasihatkan untuk tidak melaksanakannya disebabkan oleh ikatan kontrak yang masih berkuat kuasa untuk kontrak kerja penaiktarafan berkenaan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, katanya, pihak Jabatan Kereta Api telah mengemukakan cadangan kerja membaik pulih berjumlah RM4.7 juta kepada Kementerian Pengangkutan pada Disember 2022.

Beliau berkata peruntukan yang dimohon berkenaan telah diluluskan kerajaan Persekutuan pada 15 Ogos 2023.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan