JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Dua Lelaki Dipercayai Terbabit Kejadian Samun, Tetak

16/11/2023 06:28 PM

MELAKA, 16 Nov (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian samun dan tetak seorang lelaki di sebuah rumah di kebun kelapa sawit di Kampung Bukit Bunbun, Ayer Molek, 6 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu dalam kenyataan berkata serbuan kira-kira 12 tengah hari itu berdasarkan laporan diterima menerusi panggilan telefon seorang wanita mengenai kejadian tersebut di pusat servis tayar pada pagi hari sama.

"Suspek berusia 40 dan 49 tahun itu ditahan ketika kedua-duanya sedang leka membakar untuk mengasingkan nat tembaga daripada getah tayar.

"Hasil pemeriksaan juga menemukan satu tong dram kepala tiub tayar terpakai dengan jumlah kerugian RM500, barang milik mangsa selain satu motosikal yang mempunyai rekod hilang di kawasan Ampang turut berada dalam rumah suspek," katanya.

Arshad berkata polis juga merampas sebilah parang dipercayai digunakan suspek berusia 40 tahun ketika kejadian itu sehingga mendatangkan cedera pada tangan dan kaki mangsa.

Hasil saringan ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, katanya.

"Kedua-dua suspek direman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dan akan dituduh pada esok di Mahkamah Majistret Alor Gajah di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan