KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Profesor Madya Dr Helena Muhamad Varkkey daripada Universiti Malaya (UM) menjadi ahli akademik Malaysia pertama yang dilantik ke kerusi berprestij Prince Claus Chair in Equity and Development di International Institute of Social Studies (ISS), Erasmus University Rotterdam, Belanda.
UM dalam satu kenyataan memaklumkan Dr Helena, daripada Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, akan memegang jawatan pengerusi tersebut bagi tempoh dua tahun dari 1 September 2025 hingga 1 September 2027, sambil meneruskan tanggungjawab akademik dan penyelidikannya di universiti itu.
Prince Claus Chair mengiktiraf ahli akademik cemerlang dari negara berpendapatan rendah dan sederhana yang banyak menyumbang kepada penyelidikan dan pendidikan dalam isu kesaksamaan dan pembangunan antarabangsa.
Mengulas mengenai pelantikannya, Dr Helena berkata, "Saya amat berbesar hati menyertai kumpulan penyelidik terkemuka dari Selatan Global yang telah memegang kerusi Prince Claus Chair in Equity and Development ini”.
"Sebagai penyelidik Asia Tenggara yang menangani masalah di rantau Asia Tenggara, saya berbesar hati untuk menyumbang kepada misi Kerusi ini untuk membangun dan menyokong pengetahuan dari dan untuk Selatan Global.
“Pelantikan ini menyediakan peluang terbaik untuk mengukuhkan perbincangan mengenai tadbir urus alam sekitar, kesaksamaan dan pembangunan mampan di rantau kita dan melangkaui darinya," katanya.
Sebagai pemegang Prince Claus Chair, beliau akan memberi tumpuan kepada tadbir urus jerebu rentas sempadan di Asia Tenggara, satu isu yang membawa implikasi alam sekitar, ekonomi dan kesihatan awam yang ketara di seluruh rantau ini.
Beliau juga akan menyumbang kepada projek Water, Sekuritization Anxieties and Border Imaginaries (WASABI), yang mengkaji pengalaman secara langsung serta persepsi masyarakat di kawasan air yang terhalang di Sri Lanka, Amerika Tengah, Mediterranean Timur, Caucasus Selatan dan Laut Sulu di Filipina.
Mengenai kepentingan penyelidikannya, Dr Helena berkata, "Jerebu bukanlah bencana alam. Ia adalah kegagalan tadbir urus dan diplomasi, dan ia juga berkaitan dengan elemen kemanusiaan. Menerusi pelantikan ini, saya berharap dapat memberikan pemahaman yang lebih baik tentang bagaimana cabaran alam sekitar saling berkaitan dengan isu pembangunan, keselamatan dan kesaksamaan merentasi sempadan."
Seorang sarjana yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam tadbir urus alam sekitar, Dr Helena pakar dalam tadbir urus jerebu rentas sempadan dan pertikaian minyak sawit global di Asia Tenggara yang mana penyelidikan beliau telah menyumbang kepada penerbitan dan inisiatif yang berkaitan dengan dasar yang menangani cabaran alam sekitar serantau.
Selain itu beliau juga menyunting dan menghasilkan laporan untuk organisasi termasuk Akademi Sains Malaysia, UNICEF dan Sekretariat ASEAN.
Menurut UM, pelantikan itu menyokong reputasi tinggi universiti tersebut sebagai institusi penyelidikan terkemuka dan mencerminkan impak global para sarjananya dalam menangani cabaran serantau dan antarabangsa yang kompleks.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial