AM

BANTUAN LEBIH RM77,000 KEPADA MANGSA BANJIR DI PERAK

11/11/2023 09:00 PM

BAGAN SERAI, 11 Nov (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan bantuan RM77,500 kepada mangsa banjir di Perak yang kini berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan daerah Kerian dan Hilir Perak.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata setiap keluarga akan menerima bantuan sebanyak RM500 secara sekali beri.

PPS terbabit ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan SK Alor Pongsu di Kerian manakala di Hilir Perak membabitkan Dewan Serbaguna Padang Tembak, Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan dan Dewan Serbaguna Chikus.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara akan memainkan peranan dalam perkara ini bagi memastikan bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas dapat disegerakan dan diselaras dengan baik,” katanya kepada media selepas sesi penyerahan bantuan kepada 24 keluarga mangsa banjir di PPS SK Changkat Lobak hari ini.

Beliau berkata bantuan itu juga membuktikan bahawa kerajaan sentiasa cakna serta prihatin dalam mengatasi masalah yang membebani rakyat selaras dengan apa yang digagaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu membangunkan Malaysia MADANI melalui prinsip ihsan dan kesejahteraan terhadap rakyat merentangi bangsa serta agama.

Shamsul Iskandar turut meminta agensi seperti Jabatan Kesihatan Negeri dan pihak berkuasa tempatan memastikan bahawa aspek kebersihan di setiap PPS diberi keutamaan bagi mengelak berlaku penularan penyakit.

Seorang mangsa banjir, Nur Anis Dayana Saad, 25, yang ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak, bersyukur dengan bantuan itu dan berkata wang tersebut akan digunakan bagi perbelanjaan keperluan harian.

Ibu kepada lima cahaya mata itu juga berharap banjir akan surut dan dia bersama keluarganya dapat kembali ke rumah mereka di Kampung Matang Tengah secepat mungkin.

“Saya bersama keluarga dipindahkan ke sini sejak 6 Nov lepas... memang rasa tak sabar hendak pulang ke rumah sebab di sana lebih selesa dan ada privasi, lebih-lebih lagi saya ada anak kecil berusia 3 bulan yang masih menyusu badan,” katanya.

Hasmani Hussin, 44, yang merupakan suri rumah, pula berkata sumbangan itu akan digunakan sebagai dana tambahan untuk membaiki kerosakan rumahnya.

“Mungkin berlaku kerosakan sebab semasa banjir, saya tak sempat untuk menyelamatkan kelengkapan rumah terutama perabot... Jadi, rasa bersyukur juga sebab sumbangan ini dapat tampung sedikit sebanyak kerosakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan