AM

KERAJAAN TIDAK MANSUH SUBSIDI SERENTAK - KETUA SETIAUSAHA PERBENDAHARAAN

16/10/2023 09:39 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Kerajaan tidak akan memansuhkan subsidi dengan serentak, sebaliknya akan melaksanakan proses itu secara beransur-ansur, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Beliau berkata langkah memansuhkan semua subsidi dalam satu masa akan meningkatkan kos sara hidup dan menjejaskan pertumbuhan perniagaan dan pelaburan di negara ini.

Menurutnya pada masa ini kerajaan sedang mengkaji untuk menarik balik beberapa subsidi sementara secara beransur-ansur.

“Seperti mana yang telah dijelaskan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam pembentangan belanjawan baru-baru ini, antara yang telah dirancang adalah penarikan subsidi ayam dan telur selepas mengambil kira keadaan pembekalan yang telah stabil. 

“Kerajaan juga meneruskan subsidi bersasar untuk tenaga elektrik dan selanjutnya diesel," katanya kepada pemberita selepas sesi perbincangan pasca Belanjawan 2024 anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia serta Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya di sini hari ini.

Perbincangan itu menyediakan platform kepada Kementerian Kewangan untuk menyatakan bagaimana pendekatan dalam Belanjawan 2024 dijangka menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi kepada rakyat, namun menegaskan perlu dibuat penyasaran supaya ketirisan dapat dielakkan dan memastikan hanya rakyat yang layak sahaja mendapat manfaatnya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan