AM

JAWATANKUASA PENYELARASAN BUKA LALUAN KERJASAMA BANTU USAHAWAN DI SABAH

16/10/2023 09:49 PM

KOTA KINABALU, 16 Okt (Bernama) -- Penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawan Sabah membuka laluan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan Sabah dalam usaha membantu usahawan di negeri itu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata dengan adanya jawatankuasa itu, agensi Persekutuan tidak lagi bergerak bersendirian sekali gus dapat menyasarkan golongan usahawan yang memerlukan bantuan.

“Kewujudan jawatankuasa itu juga dapat mengelak pertindihan agar kumpulan sasar mendapat manfaat dan tidak ada yang tercicir dalam menerima bantuan terutamanya dana pembangunan bagi usahawan,” katanya kepada pemberita pada Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawan Negeri di sini hari ini dengan mesyuarat dipengerusikan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe.

Menurut Ewon, pihaknya sangat ambil berat terhadap pelajar yang tercicir dalam pelajaran dan tidak mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Mereka ini terpaksa bersaing dengan siswazah untuk pasaran kerja dan mereka akan terkebelakang, jadi pilihannya adalah bidang keusahawanan," katanya.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata melalui mesyuarat penyelarasan itu, ia membolehkan kerajaan Pusat membantu kerajaan Sabah dalam menangani masalah kemiskinan dalam konteks keusahawan.

Sementara itu, Phoong berkata mesyuarat penyelarasan itu yang pertama kali diadakan merupakan satu daripada usaha untuk menyelaras program berkaitan usahawan di Sabah bersama agensi kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri Kerajaan Sabah dua bulan lalu, melibatkan 21 agensi yang mempunyai program-program keusahawan agar mempunyai hala tuju yang jelas dan bersasar.

“Satu daripada agenda yang akan dibentangkan dalam mesyuarat adalah berkaitan statistik dan data mengenai usahawan serta jenis perniagaan yang dijalankan. Kita kena tahu susun atur supaya kita boleh rancang bantuan kepada usahawan yang disasarkan secara konsisten pada tahun depan,” katannya.,

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan