Oleh Nurul Jannah Kamaruddin
KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Kerajaan disaran memperkenalkan sistem ganjaran kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mencarum secara konsisten dalam program caruman sukarela i-Saraan bagi menangani isu perlindungan sosial dalam segmen tidak formal dan bekerja sendiri, menurut perancang kewangan.
Pengarah Alpine Advisory Sdn Bhd Rozanna Rashid berkata, langkah berkenaan akan turut menarik lebih banyak pencarum baharu daripada segmen bersasar.
“Untuk memberikan insentif kepada lebih banyak pekerja gig, individu bekerja sendiri, pekerja separuh masa dan suri rumah menyimpan bagi keperluan persaraan mereka, i-Saraan perlu diteruskan dan mungkin ditambah baik oleh kerajaan.
“Selain memberikan ganjaran berterusan kepada penyimpan konsisten dengan menyumbang insentif khas sedia ada terus ke akaun KWSP mereka, skim i-Saraan ini boleh ditambah baik dengan menyediakan peningkatan kadar insentif kepada mereka yang mencarum secara konsisten pada setiap tahun,” katanya kepada Bernama.
Menurut Rozanna, dividen tahunan KWSP yang bersifat pengkompaunan akan membantu pencarum mencapai simpanan persaraan lebih tinggi dalam jangka panjang.
KWSP memperkenalkan inisiatif i-Saraan pada 2018 untuk menggalakkan mereka yang bekerja sendiri dan tidak menerima pendapatan tetap untuk mencarum mengikut kemampuan masing-masing secara sukarela.
Kerajaan meneruskan program i-Saraan pada 2023, meningkatkan had maksimum insentif caruman padanan pada tahun itu daripada RM250 hingga RM300 setahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial