KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Tiada kementerian atau agensi kerajaan mengeluarkan arahan sebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsurkan sentimen politik, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Fahmi menerusi hantaran di akaun X (Twitter) beliau hari ini memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah membuat semakan dengan semua syarikat telekomunikasi berhubung perkara itu.
“Majlis Belia Malaysia (MBM) juga telah mengeluarkan penafian dan mengesahkan hantaran tersebut bukan bersumberkan pihak MBM.
“Dakwaan dana awam digunakan untuk sebaran mesej seperti ini adalah tidak benar sama sekali,” menurut hantaran itu.
Presiden MBM Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid menerusi kenyataan media hari ini juga berkata sumber hantaran SMS bersifat provokatif dan menghasut itu bukan daripada pihak MBM atau mana-mana pertubuhan belia yang bergabung di bawah MBM.
“MBM akan mengambil tindakan lanjut dan satu laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang salah guna nama yang mengaitkan pihak MBM dengan keadaan yang tidak bertanggungjawab.
“MBM menyeru kepada semua parti politik yang bertanding agar sentiasa berkempen secara matang dan sihat serta mengelakkan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang negara,” katanya.
Terdahulu, seorang pengguna media sosial X hari ini meminta penjelasan Fahmi mengenai penyebaran SMS berbaur sentimen politik yang menggunakan nama ‘Belia Malaysia’.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial