AM

LIMA 2023 PEMBUKA TIRAI PEMBANGUNAN INDUSTRI PERTAHANAN, KOMERSIL PASCA COVID-19

11/04/2023 02:10 PM

Oleh Muhammad Saufee Rosman

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2023 pada bulan depan akan menjadi pembuka tirai bagi pembangunan industri pertahanan dan komersil di rantau Asia terutamanya dalam sektor aeroangkasa pasca pandemik COVID-19. 

Pengarah Urusan Alpine Integrated Solution Sdn Bhd,  Anita Jacobson berkata LIMA 2023 merupakan peluang kepada Malaysia untuk menyumbang kepada pasaran sektor aeroangkasa kerana 60 peratus penglibatan pempamer pada acara berkenaan adalah daripada sektor tersebut.

Alpine Integrated Solution merupakan penganjur LIMA edisi 2023.

"Akan ada banyak mesyuarat perniagaan kepada perniagaan (B2B) kerana orang ramai tidak dapat bertemu selepas COVID-19. Walaupun sekarang kita rasa pandemik seperti sudah habis tetapi sebenarnya kita baru nak pulih.

"Saya sifatkannya sebagai pasca COVID dan LIMA 2023 akan menjadi curtain raiser (pembuka tirai) kepada Malaysia kerana acara ini bukan hanya untuk perniagaan di negara ini tetapi ia juga merupakan satu platform yang menyasarkan kepada pasaran serantau.

“Kita juga telah menjemput kira-kira 400 VVIP dari seluruh Asia untuk hadir seperti menteri pertahanan, menteri pengangkutan serta ketua-ketua agensi pertahanan dan keselamatan menerusi platform LIMA 2023, untuk mereka berbincang mengenai perniagaan di rantau ini," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.

Selain itu, katanya, penganjur bersama rakan strategiknya akan menyediakan platform mesyuarat B2B kepada pempamer tempatan serta antarabangsa dengan menyasarkan sebanyak 1,000 pertemuan atau mesyuarat akan berlangsung.

"Pempamer dengan pempamer dianggap sebagai rakan perniagaan yang berpotensi apabila pempamer tempatan dan antarabangsa bertemu dan berbincang mengenai perkonsgian, justeru ia adalah kumpulan yang rakan kongsi kami akan cuba temukan semasa LIMA 2023.

"Keduanya adalah pelawat perdagangan yang datang untuk bertemu pempamer tempatan dan antarabangsa untuk berbincang soal perniagaan tetapi kita tidak akan berhenti setakat itu sahaja. Kita akan membuat susulan selepas pertemuan tersebut untuk buat tinjauan, analisis dan laporan tentang kadar kejayaan" katanya.

LIMA 2023 yang akan berlangsung daripada 23 hingga 27 Mei depan adalah bertemakan ‘Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia’.

Kali terakhir pameran dwitahunan itu dianjurkan adalah pada tahun 2019 dan ia ditangguhkan pada 2021 susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika itu.

LIMA 2023 melibatkan dua kementerian iaitu Kementerian Pertahanan (Industri Pertahanan Maritim dan Aerongkasa) dan Kementerian Pengangkutan (Industri Komersil Maritim dan Aeroangkasa).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan