AM

Perpustakaan Awam Kelantan Terima Rm1.5 Juta Untuk Beli Buku, Aktiviti Kemasyarakatan

10/04/2023 02:57 PM

GUA MUSANG, 10 April (Bernama) -- Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan menerima peruntukan sebanyak RM1.5 juta daripada Perpustakaan Negara pada tahun ini bagi pembelian buku termasuk kos perbelanjaan untuk mengadakan aktiviti kemasyarakatan. 

Pengarahnya Mohd Shamsul Baharin Isa berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM207,000 disalurkan kepada tujuh perpustakaan cawangan dan 34 perpustakaan desa di seluruh negeri untuk aktiviti pembangunan modal insan. 

Beliau berkata pihaknya sedang giat menjalankan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan semula jumlah pengunjung ke perpustakaan susulan pandemik COVID-19. 

"Sambutan orang awam ke perpustakaan di Kelantan sebelum pandemik amat memberangsangkan tetapi selepas itu jumlah pengunjung merudum dan penurunan ini amat ketara. 

"Untuk mengatasi masalah ini, kita akan adakan pelbagai program bagi menarik kembali orang awam untuk mengunjungi perpustakaan di negeri ini," katanya kepada pemberita di Perpustakaan Awam Gua Musang, hari ini. 

Mohd Shamsul Baharin berkata pihak perbadanan turut mengadakan program secara maya, selain membuat siaran langsung di media sosial mengenai aktiviti yang sedang dijalankan di perpustakaan terbabit.

"Kita juga buat program bual bicara penulis buku secara maya setiap bulan dengan penulis-penulis ini boleh mempromosikan karya mereka.

"Selain itu, kita turut mengadakan perpustakaan bergerak ke sekolah dan agensi mengikut permintaan dengan menggunakan bas yang disediakan," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan