AM

Anwar Seru Pustakawan Pupuk Budaya Membaca Yang Dinamik

17/06/2025 02:08 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa para pustakawan di seluruh rantau ini agar melangkaui peranan tradisional mereka dan menyahut cabaran untuk memupuk budaya membaca yang dinamik, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Berucap pada Persidangan dan Mesyuarat Agung Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (CONSAL XIX) beliau menegaskan bahawa perpustakaan tidak seharusnya hanya menjadi tempat simpanan buku atau ruang berestetika semata-mata, sebaliknya perlu berfungsi sebagai pusat ilmu, budaya dan wacana intelektual yang aktif.

“Peranan pustakawan bukan sekadar mengumpul buku dan mempamerkannya di dalam almari kaca. Sebaliknya, ia adalah untuk menjadikan perpustakaan sebagai sumber penting dalam meningkatkan kesedaran dan memberi  inspirasi kepada para pembaca,” katanya semasa merasmikan acara tersebut di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa pustakawan perlu menjadi pembimbing yang berkesan dalam memperkenalkan kandungan menarik kepada pembaca serta memanfaatkan teknologi dan peralatan digital untuk menjangkau khalayak yang lebih luas.

Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perdana Menteri berkata dalam membincangkan konsep negara MADANI serta usaha memperkukuh ekonomi dan kenegaraan, asas yang paling utama mestilah sentiasa berpaksikan kepada ilmu pengetahuan, satu tiang seri yang bukan sahaja dipertahankan oleh institusi sekolah dan universiti, malah turut diperkukuh melalui peranan perpustakaan.

Beliau turut menekankan kepentingan mewujudkan suasana perpustakaan yang mesra dan menarik, sambil menyatakan bahawa sejarah tamadun agung dunia sering kali dikaitkan dengan kewujudan pusat ilmu yang unggul, sama ada Perpustakaan Iskandariah yang masyhur, Bayt al-Hikmah di Baghdad, mahupun institusi keilmuan yang muncul di Barat.

Dalam masa yang sama, Anwar turut memuji inisiatif seperti Perpustakaan Digital ASEAN, yang menurutnya mencerminkan komitmen rantau ini dalam mendemokrasikan akses kepada ilmu pengetahuan.

Beliau berkata perpustakaan perlu menyesuaikan diri dengan peredaran zaman, bukan sekadar menawarkan buku tetapi juga menyediakan akses kepada kandungan seperti podcast, filem, e-buku dan sumber digital lain yang kini menjadi alat pembelajaran penting dalam dunia masa kini.

CONSAL XIX, acara tiga tahun sekali, menghimpunkan 1,200 peserta dari negara anggota ASEAN dan luar rantau, dengan sebanyak 89 kertas kerja bernas dibentangkan oleh penceramah dan pakar ternama dari pelbagai bidang.

Sepanjang kongres ini, pelbagai topik dibincangkan termasuk peranan baharu perpustakaan yang semakin menyerlah dalam memupuk komuniti inklusif, sumbangan perpustakaan ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), serta strategi memperluas ekosistem ilmu untuk kumpulan terpinggir termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan masyarakat luar bandar.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan