AM

Perpustakaan Digital ASEAN Jadi Jambatan Budaya Dan Rakyat - Aaron

17/06/2025 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menyeru negara anggota ASEAN untuk memperhebat penyertaan mereka dalam Perpustakaan Digital ASEAN (ADL) sebagai langkah penting dalam memastikan akses ilmu yang adil dan menyeluruh di rantau ini.

Beliau berkata ADL merupakan antara inisiatif serantau paling berpotensi dan berwawasan sekali gus membuktikan hasil positif boleh dicapai apabila negara ASEAN berganding bahu dengan komitmen untuk memelihara, berkongsi dan memperluas akses ilmu pengetahuan.

“Perpustakaan Digital ASEAN ialah sebuah platform kerjasama yang menghimpunkan metadata daripada perpustakaan negara-negara anggota ASEAN.

“Walaupun masih di peringkat awal, sistem ini telah membolehkan akses rentas sempadan yang lancar kepada puluhan ribu bahan digital termasuk manuskrip, buku, khazanah budaya, bahan bergambar, akhbar dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (CONSAL XIX) di Pusat Dagangan Dunia yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Aaron berkata bagi memaksimumkan potensi ADL, negara-negara anggota ASEAN perlu bekerjasama membangunkan infrastruktur digital, memperkukuh pembangunan kapasiti pustakawan dan pegawai arkib serta menyelaras piawaian metadata agar koleksi setiap negara dapat disepadukan dengan lebih mudah.

Beliau turut menggesa usaha lebih berani dalam menyokong pendigitalan sistem pengetahuan masyarakat peribumi dan bahasa-bahasa tempatan bagi memastikan arkib digital serantau mencerminkan keseluruhan warisan ASEAN yang kaya dan pelbagai.

Sementara itu, Aaron berkata akses kepada ilmu pengetahuan secara menyeluruh perlu menjadi teras dalam pembinaan negara bangsa khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar dan kawasan kurang mendapat perhatian.

“Dalam membina masyarakat berilmu, kita perlu memastikan tiada sesiapa yang tercicir sama ada disebabkan faktor geografi, status ekonomi, umur, jantina, keupayaan atau bahasa,” katanya yang menegaskan maksud sebenar keterangkuman ialah manfaat pendidikan dan maklumat perlu dinikmati seluruh lapisan masyarakat.

Ia termasuk memperluas capaian ilmu seperti perpustakaan bergerak, kios digital dan model perkhidmatan alternatif yang penting untuk menyokong proses pembelajaran khususnya dalam kalangan kanak-kanak, pertani, wanita dan warga emas di kawasan luar bandar.

CONSAL XIX, acara tiga tahun sekali yang menghimpunkan 1,200 peserta dari negara anggota ASEAN dan luar rantau, dengan sebanyak 89 kertas kerja bernas dibentangkan oleh penceramah dan pakar ternama dari pelbagai bidang.

Sepanjang kongres ini,, pelbagai topik dibincangkan termasuk peranan baharu perpustakaan yang semakin menyerlah dalam memupuk masyarakat terangkum, sumbangan perpustakaan ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta strategi memperluas ekosistem ilmu untuk kumpulan terpinggir termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan masyarakat luar bandar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan