SUKAN

KURANGKAN BIROKRASI, BADAN SUKAN TIDAK PERLU MOHON KELULUSAN PJS

23/03/2023 04:21 PM

PUTRAJAYA, 23 Mac (Bernama) -- Semua pertandingan tempatan dianjurkan badan sukan, kelab yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tidak perlu lagi mendapatkan kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS), berkuat kuasa 10 April ini. 

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bagaimanapun menegaskan mereka hendaklah memastikan penganjuran sukan itu perlu mematuhi garis panduan kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan termasuk mendapatkan perlindungan insurans bagi menjamin keselamatan peserta. 

Beliau berkata keputusan itu dibuat susulan sesi dialog awam pihaknya bersama ketua eksekutif dan pemain industri sukan pada 31 Jan lepas dan selaras konsep Malaysia MADANI untuk menumpukan perhatian penyelesaian masalah sekali gus mengambil inisiatif mempermudahkan proses penganjuran acara sukan di negara ini. 

“Perkara ini selaras dengan kehendak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu mengurangkan birokrasi. Kita selalu kata Road to Gold di Olimpik Paris dan mahu menang pingat dan fokus kepada atlet.

“Namun, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga jaga ekosistem sukan di semua peringkat di daerah dan mudahkan kerja mereka,” katanya pada sidang media berkaitan penganjuran acara sukan di Menara KBS di sini hari ini. 

Turut hadir, Ketua Setiausaha KBS Dr Nagulendran Kangayatkarasu dan PJS Ibrahim Mohd Yusof.

Bagaimanapun, Hannah berkata syarikat masih perlu memohon kebenaran penganjuran daripada PJS, namun dikurangkan daripada sembilan dokumen kepada tiga dokumen iaitu sijil pendaftaran, perlindungan insurans dan kebenaran badan sukan pengelola.

Beliau berkata fi lesen sukan juga dikecualikan sehingga 31 Dis 2025, namun tempoh permohonan lesen dipendekkan bagi acara sukan tempatan dari 30 hari kepada 14 hari bekerja manakala acara sukan antarabangsa dari 90 hari kepada 30 hari bekerja. 

Permohonan lesen bagi acara sukan di Sabah dan Sarawak pula diproses oleh pejabat PJS di negeri masing-masing. 

“Bila adakan town hall ada penganjur sampai menangis bertanyakan kenapa kos sangat tinggi sampai tidak mampu anjurkan acara sukan. Ada penganjur kata (fi lesen sukan) sampai RM10,000 daripada persatuan sukan, jadi bagaimana mereka nak dapatkan wang sebanyak itu. 

“Selaras dengan pembaharuan yang kita lakukan, saya juga minta badan sukan mengambil semangat sama iaitu kurangkan kos kepada penganjur sebab kita mahu pastikan lebih banyak lagi acara sukan dapat dijalankan setiap minggu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan