KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- EcoWorld International Bhd merekodkan kerugian bersih lebih tinggi pada RM30.82 juta pada suku pertama berakhir 31 Jan, 2023 (1Q 2023) berbanding RM14.66 juta pada suku sama tahun lepas.
Prestasi itu disebabkan terutamanya oleh kerugian pertukaran asing akibat penyusutan nilai mata wang pound Britain berbanding ringgit, kata kumpulan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Selain itu, hasilnya turut susut kepada RM22.37 juta berbanding RM49.24 juta, sebelum ini.
EcoWorld International berkata dalam tempoh tiga bulan, kedudukan tunai bersihnya meningkat daripada RM172.5 juta setakat 31 Okt, 2022, kepada RM446.2 juta sehingga 31 Jan, 2023 yang juga peningkatan sebanyak 159 peratus.
Bagi tempoh empat bulan pertama tahun kewangan 2023, jualannya mencecah RM335 juta berserta tambahan rizab sebanyak RM189 juta yang berjumlah RM524 juta.
Menurut kumpulan itu, prestasi itu meletakkannya di landasan tepat dalam usaha mencapai sasaran jualan tahun penuh sebanyak RM1.4 bilion.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Teow Leong Seng berkata kumpulan itu menyasarkan untuk mengekalkan momentum jualan dengan menawarkan pakej insentif menarik kepada kalangan pembeli selain memanfaatkan permintaan luar negara melalui acara pemasaran di peringkat antarabangsa.
Langkah itu juga, katanya, akan membolehkan peningkatan aliran tunai tambahan dapat dijana bagi kumpulan dalam suku-suku akan datang.
“Tumpuan utama kami pada tahun ini adalah untuk terus menjana keuntungan daripada saham, pengekalan tunai serta bagi menyampaikan agihan lebihan tunai yang dijanjikan kepada pemegang saham. Ini juga berdasarkan pelan berteraskan jualan serta tempahan yang dapat dicapai oleh syarikat setakat ini,” katanya.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan