SEPANG, 5 Jun (Bernama) -- Presiden Guinea-Bissau Umaro Sissoco Embalo menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia hari ini.
Presiden Embalo diberikan upacara pelepasan permaidani merah dan kawalan kehormatan oleh 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Lt Muhammad Safwan Abdullah di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani hadir bagi mengucapkan selamat jalan kepada Presiden Embalo dan delegasinya.
Pesawat khas yang membawa delegasi dari Guinea-Bissau itu berlepas pada 11.55 pagi.
Semalam Malaysia dan Guinea-Bissau meneruskan komitmen mereka untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan bidang tumpuan termasuk industri halal, kewangan Islam, tenaga dan pembinaan kapasiti.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media bersama Presiden Embalo, menekankan hubungan diplomatik Embalo yang kukuh dengan kuasa global utama, termasuk Emiriah Arab Bersatu, Perancis, Rusia, Amerika Syarikat dan beberapa negara Afrika.
Anwar turut menyifatkan hubungan Malaysia dengan Guinea-Bissau sebagai pintu masuk strategik untuk meluaskan kehadiran negara di seluruh benua Afrika, meletakkan negara di Afrika Barat itu sebagai laluan penting untuk perdagangan, pelaburan dan penglibatan diplomatik.
Dalam lawatan sulungnya ke Malaysia, Presiden Embalo meluangkan masa meninjau keindahan persekitaran pusat pentadbiran negara Putrajaya dengan menaiki Cruise Tasik Putrajaya semalam, di samping melawat Menara Berkembar Petronas di ibu negara.
Malaysia dan Guinea-Bissau menjalin hubungan diplomatik pada November 1974.
Hubungan dua hala antara kedua-dua negara kekal mesra, berteraskan komitmen bersama terhadap kerjasama di peringkat dua hala dan pelbagai hala termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).
Pada 2024, jumlah dagangan Malaysia dengan Guinea-Bissau mencecah RM4.1 juta, dengan nilai eksport Malaysia sebanyak RM4.04 juta manakala import bernilai RM0.06 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial