TUARAN, 5 Jun (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor hari ini menyerahkan sebanyak 200 ekor lembu korban sempena sambutan Aidiladha yang bakal diraikan Sabtu ini, kepada wakil masjid dan surau dalam kawasan Parlimen Tuaran.
Sumbangan lembu korban itu turut diberikan kepada kepada wakil jabatan serta agensi Persekutuan dan negeri, selain pertubuhan badan bukan kerajaan.
Majlis penyerahan berkenaan berlangsung di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah Sabah di Kampung Lok Batik, di sini.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Hajiji berkata ibadah korban bukan sahaja melambangkan ketaatan kepada Allah SWT, malah menjadi medium memperkukuh semangat perpaduan, kesatuan dan budaya saling membantu dalam kalangan masyarakat.
“Aidiladha bukan sekadar perayaan, ia satu penghayatan terhadap nilai pengorbanan, keikhlasan dan kepedulian.
“Kita berharap sumbangan ini bukan sahaja membolehkan ibadah korban dilaksanakan, malah dapat memeriahkan sambutan Aidiladha di kawasan masing-masing, di samping memastikan daging korban diagihkan kepada golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Tadbir Agama Tuaran Mohd Hailmi Misbah berkata pihaknya menggerakkan seramai 42 petugas bagi membantu proses penyerahan lembu korban, khususnya ke masjid dan surau yang terlibat, bermula Selasa lepas.
“Pelaksanaan ibadah korban akan dilakukan oleh ahli jawatan kuasa masjid dan surau masing-masing. Kita hanya menyerahkan sumbangan, manakala proses penyembelihan dan pengagihan daging korban akan dilaksanakan oleh pihak masjid dan surau terbabit,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial