JENAYAH & MAHKAMAH

Thai Hot Guy: Pemuda UMNO, Armada buat laporan polis

22/03/2023 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini membuat laporan polis berhubung penganjuran program melibatkan kumpulan dikenali sebagai “Thai Hot Guy” yang dilaporkan akan berlangsung di sebuah premis di ibu negara pada 30 Mac ini.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Shahrul Nasrun berkata poster yang dimuat naik oleh premis berkenaan bertujuan mempromosikan acara itu bertentangan dengan undang-undang Malaysia.

“Tarikh penganjuran akan berlangsung pada Ramadan, walaupun bukan pada bulan puasa, kita (tetap) tidak mahu program sebegini berjalan," katanya kepada media selepas selesai membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.

Shahrul berkata merujuk kepada Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, Islam ialah agama Persekutuan, maka penganjuran program berkenaan akan mencetuskan kekacauan pada masa depan. 

Sementara itu, Exco Armada Bersatu Nasional Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid yang turut membuat laporan polis berkata perlu ada undang-undang jelas yang tidak membenarkan sebarang bentuk persembahan sedemikian rupa daripada berlangsung di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan memaklumkan setakat ini tiga laporan telah diterima.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata penganjuran program itu bertentangan dengan ajaran Islam serta tatasusila masyarakat.

Beliau berkata Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah diarahkan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan berhubung penganjuran program berkenaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan