SIEM REAP (Kemboja), 21 Mac (Bernama-Xinhua) -- Larian obor Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-32 di Kemboja bermula pada Selasa, berbaki 45 hari lagi untuk temasya sukan serantau dwitahunan itu bermula.
Raja Kemboja Raja Norodom Sihamoni yang diiringi Perdana Menteri Samdech Techo Hun Sen, berkenan untuk berangkat pada upacara menyalakan obor di kuil Angkor Wat di wilayah Siem Reap.
Obor itu kemudiannya dibawa mengelilingi Angkor Wat dan akan meninggalkan Kemboja pada Rabu (22 Mac) untuk ke negara Asia Tenggara lain - Vietnam, Filipina, Brunei, Indonesia, Timor-Leste, Malaysia, Singapura, Thailand, Myanmar dan Laos, lapor Xinhua.
Obor akan kembali ke Kemboja pada 27 April.
Berucap pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Tea Banh yang juga pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja (CAMSOC), berkata Sukan SEA itu akan menjadi acara bersejarah buat negara itu yang telah menunggunya selama 64 tahun.
“Acara sukan serantau itu akan meningkatkan reputasi Kemboja di arena antarabangsa kerana ia juga akan menjadi peluang besar untuk menunjukkan keamanan, budaya, tamadun, pelancongan dan pembangunan sosioekonomi kita kepada dunia,” katanya.
Kemboja akan menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-32 dari 5 hingga 17 Mei. Stadium Nasional Morodok Techo di pinggir utara ibu negara akan menjadi venue utama untuk upacara pembukaan dan penutupan rasmi serta kejohanan.
Sementara itu, Menteri Pelancongan Thong Khon yang juga presiden Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja berkata seramai 11,453 atlet dan delegasi dari negara Asia Tenggara dijangka menyertai temasya itu.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial