KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Kerangka Kerjasama Mekong-Jepun terus mengutamakan pembangunan mampan dan perlindungan alam sekitar bagi membina subwilayah Mekong yang berdaya tahan dan makmur.
Komitmen itu dinyatakan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Kerjasama Mekong-Jepun ke-16 yang diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan pada Khamis.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn berkata kedua-dua pihak mengulangi komitmen untuk menyokong kestabilan dan kemakmuran di subwilayah Mekong dalam kerangka Indo-Pasifik yang lebih luas.
“Mesyuarat itu turut meneroka potensi kerjasama dalam pembangunan lestari, perlindungan alam sekitar dan keterhubungan serantau,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan bersama Prak Sokhonn, Menteri Luar Jepun Takeshi Iwaya dan Menteri Luar Vietnam Bui Thanh Son.
Sempena 18 tahun pembentukan Kerjasama Mekong-Jepun sejak dimulakan pada 2007, mesyuarat itu turut menghimpunkan menteri-menteri luar dari Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand dan Vietnam.
Kerangka Kerjasama Mekong-Jepun menyatukan Jepun bersama lima negara Mekong iaitu Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand dan Vietnam bagi memperkasa pembangunan lestari, keterhubungan serantau dan pertumbuhan inklusif di Asia Tenggara.
Pada 2024, kerjasama berkenaan melangkah ke fasa baharu dengan pelancaran Strategi Kerjasama Mekong-Jepun 2024 yang memberi tumpuan kepada tiga teras utama, selari dengan matlamat serantau ASEAN secara menyeluruh serta menyokong konsep Indo-Pasifik yang Bebas dan Terbuka (FOIP).
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Mesyuarat peringkat tinggi yang berlangsung selama empat hari dari 8 hingga 11 Julai, menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial