AM

Pastikan penuhi standard MPM untuk berdaftar sebagai doktor pergigian

14/02/2023 06:58 PM

PUTRAJAYA, 14 Feb (Bernama) -- Warganegara Malaysia yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang pergigian di institusi luar negara, perlu memenuhi standard yang ditetapkan Majlis Pergigian Malaysia (MPM), bagi membolehkan mereka berdaftar sebagai doktor pergigian dan menjalankan amalan pergigian.

Yang Dipertua MPM Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata MPM, pada mesyuarat keempat di bawah Akta Pergigian 2018 pada 2 Ogos tahun lepas (2022) telah menetapkan standard tersebut.

“Mengambil kira persediaan ke luar negara yang sedang berjalan, MPM bersetuju agar standard berhubung syarat keperluan minimum ke luar negara adalah terpakai bagi kursus pengajian yang akan bermula 1 Julai 2023 dan seterusnya,” katanya.

Antara standard yang ditetapkan oleh MPM di bawah Seksyen 29 (2) (a) Akta Pergigian 2018 untuk latihan di institusi luar negara termasuklah, syarat kemasukan minimum adalah setara dengan syarat kemasukan tempatan, mod latihan sepenuh masa dan tempoh latihan tidak kurang empat tahun dalam bidang pergigian.

Syarat lain ialah memenuhi modul atau komponen latihan yang ditetapkan; waktu pergigian klinikal secara bersemuka tidak kurang 2,000 jam; serta kelayakan yang membolehkan pelajar berkenaan didaftarkan sebagai doktor pergigian di negara tersebut.

Standard yang ditetapkan oleh MPM  dan syarat keperluan minimum boleh diakses melalui laman web MPM di https://mdc.moh.gov.my/ di bawah pautan ‘Registration’.

Dr Noor Hisham berkata selaras dengan Seksyen 29 (2) (c) pula, graduan luar negara yang ingin mendaftar dengan MPM selepas 31 Dis 2026, dikehendaki menduduki Peperiksaan Kelayakan Profesional sekiranya kelayakan dari luar negara tersebut memenuhi standard yang ditetapkan oleh MPM.

“Keperluan menduduki Peperiksaan Kelayakan Profesional bagi graduan daripada luar negara yang ingin mendaftar dengan MPM sebelum 1 Jan 2027, masih tertakluk kepada senarai ijazah yang tidak diiktiraf sebelum ini di bawah Akta Pergigian 1971,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata mereka yang berminat menceburi profesion sebagai doktor pergigian dan semua pihak yang berkepentingan dimohon untuk sentiasa peka dengan menyemak syarat-syarat dan keperluan terkini melalui laman web rasmi MPM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan