EKONOMI

Modenas perkenal skuter Maxi dengan pelepasan Euro 4 baharu

09/02/2023 08:32 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Syarikat motosikal nasional, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) telah melancarkan model skuter maxi baharu, Elegan 250 EX yang mematuhi peraturan pelepasan ekzos Euro 4. 

Modenas dalam satu kenyataan hari ini berkata versi model kegemaran yang dinaik taraf, Elegan 250 ABS, dibina dengan antipelepasan tambahan bagi memastikan toksin dalam gas ekzos dapat dikurangkan semasa pelepasan apabila enjin berjalan. 

"Dengan enjin Euro 4, Elegan 250 EX baharu ini pastinya akan menjadi lebih cekap bahan api dan akan mengurangkan kerosakan kepada bumi," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Roslan Roskan berkata skuter enjin empat lejang SOHC, silinder tunggal berkapasiti 250cc itu didatangkan dengan jaminan pembuatan selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdahulu), ciri-ciri hebat yang lebih banyak, ergonomik yang baik dan sokongan selepas jualan yang luar biasa. 

"Secara keseluruhan, inilah nilai yang orang mahu dalam skuter (yang) boleh dipercayai dan cekap bahan api," katanya. 

Model itu juga dipasang dengan lampu depan projektor baharu yang lebih anggun dengan ciri pencahayaan siang LED untuk meningkatkan penglihatan sepanjang hari bagi penunggang dan pengguna jalan raya lain, manakala lampu ekor berbentuk X mampu meningkatkan penglihatan kenderaan semasa ditunggang pada waktu malam.

“Satu lagi ciri-ciri yang sangat berguna ialah soket pengecas USB yang dipasang secara strategik, membolehkan penunggang mengecas telefon pintar mereka semasa dalam perjalanan

Ciri keselamatan semasa dikekalkan dengan sistem ABS dwi-saluran yang mampu mengelakkan roda daripada terkunci dan memberhentikan skuter ini dengan selamat dalam semua keadaan cuaca.

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan