AM

Thaipusam: Beberapa jalan di sekitar P.Pinang ditutup untuk perarakan pedati mulai Sabtu

01/02/2023 07:00 PM

GEORGE TOWN, 1 Feb (Bernama) -- Beberapa jalan-jalan utama di Pulau Pinang akan ditutup bagi memberi laluan kepada perarakan pedati emas dan pedati perak sempena sambutan Thaipusam yang dijangka dihadiri oleh 1.5 juta penganut agama Hindu Ahad ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata beberapa jalan di sekitar bandar raya George Town akan ditutup mulai pukul 6.30 pagi Sabtu ini, hingga pukul 7 petang pada 6 Feb (Isnin).

"Perarakan kali ini melibatkan pedati iaitu pedati emas dan pedati perak. Pedati emas akan bergerak pada 4 Feb pukul 6.30 pagi dari Lebuh Queen ke Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam dan akan kembali ke Lebuh Queen pada 6 Feb pukul 6 petang.

"Pedati perak pula akan bergerak pada 4 Feb pukul 7.30 pagi dari Lebuh Penang ke Kuil Air Terjun dan kembali ke Lebuh Penang pada 6 Feb pukul 7 petang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya antara laluan yang akan ditutup bagi perarakan kedua-dua pedati adalah Jalan Kebun Bunga dan Jalan Gotterlib yang akan ditutup sepenuhnya, manakala bagi Jalan Utama, Jalan Burma, Jalan Macallister, Jalan Cantoment, Jalan Nunn, Jalan Brown, Jalan Scotland, Jalan Masjid Kapitan Keling, Lebuh Victoria dan beberapa jalan lagi ditutup sementara, bergantung kepada pergerakan pedati.

Mohd Shuhaily berkata bagi memastikan kelancaran dan keselamatan orang ramai, pihak kontinjen Pulau Pinang akan menggerakkan seramai 1,250 pegawai dan anggota bagi mengawal keadaan sempena sambutan Thaipusam. 

Sebagai langkah menjaga keselamatan, Mohd Shuhaily menasihati orang awam supaya tidak bermain mercun, berminum minuman keras dan memakai barang kemas yang boleh menarik perhatian penjenayah. 

"Tindakan penguatkuasaan akan diambil kepada mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan pihak berkuasa, "katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan