KLUANG, 17 Jun (Bernama) -- Hasrat seorang pesara tentera untuk melihat anak bongsunya meneruskan legasi keluarga dalam angkatan tentera berakhir dengan tragedi, apabila Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, terkorban dalam latihan membaling grenad di Kem Hobart, Gurun, Kedah semalam.
Bapanya Sungip Jais, 65, berkata Allahyarham yang merupakan anak bongsu daripada tujuh adik-beradik memilih menyertai Tentera Darat Malaysia (TDM), kerana minat yang mendalam terhadap kerjaya ketenteraan selain mahu meneruskan legasi keluarganya.
“Dia memang minat tentera sejak kecil. Dia pernah beritahu mahu sambung legasi keluarga kerana saya juga bekas anggota Tentera Darat.
“Selepas tamat pengajian Diploma Kejuruteraan Awam (Jalan Raya dan Pengangkutan) di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Sri Gading, dia terus memohon menyertai tentera,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Taman Sri Lambak, di sini hari ini.
Sungip yang pernah berkhidmat dalam Rejimen Artileri Diraja (RAD) itu berkata anaknya itu seorang yang amat rapat dengan keluarga dan pernah menyatakan hasrat untuk menangguhkan perkahwinan, kerana mahu menjaga kedua-dua ibu bapanya.
“Dia selalu cakap belum mahu fikir soal kahwin kerana mahu jaga mak dan ayah dahulu,” katanya dalam nada sebak.
Sementara itu, kakak Allahyarham, Siti Zaiha, 39, berkata sekeping gambar yang dikongsi Allahyarham menerusi aplikasi WhatsApp pada tengah malam 15 Jun, kini menjadi kenangan terakhir keluarga.
Beliau berkata gambar berkenaan menunjukkan arwah sedang menjalani latihan menembak, yang menurutnya merupakan antara latihan paling menggembirakan sejak menyertai TDM tahun lepas.
“Dalam perbualan itu dia beritahu, esoknya masih ada latihan dan latihan membaling grenad akan bermula sekitar pukul 8 pagi.
“Namun kira-kira pukul 1 tengah hari saya menerima panggilan memaklumkan adik saya terlibat dalam kemalangan. Pada mulanya saya sangka kemalangan biasa atau kemalangan jalan raya.
“Tidak lama kemudian saya menerima satu lagi panggilan yang memaklumkan kejadian itu berlaku semasa latihan dan adik saya telah meninggal dunia,” katanya.
Siti Zaiha berkata kehilangan itu amat sukar diterima keluarga, kerana arwah sentiasa ceria dan tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan sepanjang pulang bercuti sempena Aidiladha baru-baru ini.
“Kali terakhir kami berjumpa seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha. Dia nampak gembira seperti biasa dan tidak menunjukkan apa-apa petanda,” katanya.
Dalam kejadian pada 10.57 pagi semalam, Allahyarham dan seorang lagi anggota Koperal Norazmi Abu Bakar, disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani akibat kecederaan parah susulan letupan berkenaan.
Allahyarham Siti Khadijah pernah menerima pengiktirafan sebagai Perajurit Muda Wanita Akademik Terbaik pada Januari lepas, selepas mencatat keputusan cemerlang sepanjang menjalani latihan asas ketenteraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan.
Allahyarham dilahirkan pada 19 Sept 2002 di Kluang dan mengikuti latihan sebagai Perajurit Muda Wanita daripada Kompeni Juliet, sebelum diserapkan ke Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).
Jenazah Allahyarhamah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lambak di sini, petang ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial