SUKAN

Arul tuntut Speedy Tigers kembali bangkit pada aksi terakhir Piala Dunia

27/01/2023 07:52 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan A. Arul Selvaraj menuntut anak buahnya berjuang bermati-matian dalam perlawanan klasifikasi terakhir Kejohanan Hoki Piala Dunia 2023 menentang Jepun, Sabtu ini. 

Pengendali skuad Speedy Tigers itu berkata pemain perlu kembali bermotivasi mencipta kemenangan pada aksi perebutan tempat ke-13 di Stadium Birsa Munda di Rourkela, India.

Seandainya, gagal mencipta kemenangan, Malaysia akan menghuni tempat ke-15, sama seperti pencapaian pada edisi 2018 di Bhubaneswar, India.

Sebagai rekod, sepanjang tiga pertemuan dengan Jepun, tahun lalu, Malaysia menang kesemua perlawanan iaitu 5-0 pada Piala Asia di Jakarta (Mei), 4-2, pada Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh (November) dan 5-1 pada Piala Negara-Negara di Afrika Selatan, Disember lalu.

“Walaupun kita pernah menundukkan Jepun sebelum ini namun ketika di peringkat Piala Dunia, ia bukan perlawanan yang mudah dan Jepun sudah semestinya akan menampilkan saingan yang jitu.

“Kita harus keluar dengan motivasi lebih tinggi untuk menang perlawanan terakhir di Piala Dunia. Jadi persiapan rapi daripada segi emosi pemain adalah perlu dalam mencapai kemenangan pada perlawanan terakhir ini,” katanya menerusi perkongsian video oleh Konfederasi Hoki Malaysia kepada media hari ini.

Semalam, hasrat skuad Speedy Tigers untuk menamatkan saingan di tempat kesembilan lebur selepas tumpas kepada Afrika Selatan 3-6 pada aksi penentuan tempat kesembilan hingga ke-16. 

Arul percaya kekalahan kepada Afrika Selatan itu tidak boleh dijadikan kayu pengukur kemampuan pasukan negara.

“Kita mengadakan sesi perbincangan dengan pemain dan mereka juga membuat sesi antara mereka dan secara kesimpulan, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab secara individu (terhadap kekalahan menentang Afrika Selatan).

“Tetapi bukan menandakan mereka bukan pasukan yang kurang memuaskan sebaliknya kita semakin mantap,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan