GEORGE TOWN, 2 Jan (Bernama) -- Situasi terkini jangkitan COVID-19 di Pulau Pinang pada masa ini menunjukkan trend menurun sehingga 50 peratus berbanding beberapa bulan lepas, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Beliau berkata berdasarkan laporan harian yang diterima kebelakangan ini, purata kes harian di Pulau Pinang adalah sekitar 40 hingga 50 kes sahaja berbanding beberapa bulan lepas yang mencatatkan angka lebih 100.
Merujuk kepada prosedur kemasukan pelancong dari China ke dalam negara pula, beliau berkata kerajaan negeri akan akur dan mematuhi arahan kerajaan dalam usaha bendung penularan wabak itu.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini Chow berkata kerajaan negeri sedia melaksanakan protokol-protokol yang ditetapkan oleh Kerajaan Pusat dan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung kemasukan pelancong dari negara berkenaan ke Pulau Pinang.
"Semua tertakluk kepada perintah daripada Kerajaan Pusat dan KKM, sekiranya ada apa-apa protokol yang perlu dipatuhi, kita akan patuh. Setakat ini tiada penerbangan terus dari China ke Pulau Pinang memandangkan ia telah dihentikan sejak pandemik COVID-19 melanda," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beberapa media sebelum ini melaporkan China akan membuka semula sempadannya pada 8 Jan ini selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik COVID-19.
KKM pula dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya sedia mengubah dasar berkaitan penjagaan kesihatan pengurusan pandemik COVID-19 di sempadan negara sedia ada, termasuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan di pintu masuk negara jika perlu, bukan sahaja bagi pelawat dari China, bahkan yang tiba dari mana-mana negara sekalipun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial