AM

CAKE minta kerajaan Kedah pantau judi dalam talian, kurangkan lesen jualan arak

02/01/2023 06:02 PM

ALOR SETAR, 2 Jan (Bernama) -- Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri yang memutuskan untuk tidak lagi memperbaharui lesen perjudian, di samping menyuarakan harapan agar lesen penjualan minuman keras pula dapat dikurangkan.

Presidennya Mohamad Yusrizal Yusoff berkata susulan langkah menutup sepenuhnya premis perjudian dan loteri di Kedah, pihaknya juga berharap kerajaan negeri dapat memantau kegiatan perjudian dalam talian yang dipercayai akan berleluasa.

“Tahniah kepada kerajaan Kedah kerana berjaya menutup premis perjudian dan loteri selepas tidak lagi memperbaharui lesen perjudian mereka. CAKE berharap pihak berkuasa dapat memperketatkan lagi undang-undang terutamanya berkaitan perjudian dalam talian,” katanya.

Beliau yang ditemui ketika membuat tinjauan harga dan bekalan barangan keperluan di Pasar Besar Alor Setar dekat sini hari ini berkata sebelum ini pihaknya banyak menerima laporan daripada penghulu dan wakil kampung berhubung kegiatan perjudian dalam talian yang berlaku di kawasan mereka.

“Selain itu persatuan juga berharap kerajaan negeri dapat mengurangkan lesen penjualan minuman keras bagi menghadkan penjualan arak yang dijual secara berleluasa di kedai-kedai biasa. Cara ini sekurang-kurangnya dapat menggurangkan kadar kemalangan kerana ada kes membabitkan pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan operasi semua premis perjudian dan loteri di Kedah tamat apabila kerajaan negeri memutuskan untuk tidak lagi memperbaharui lesen perjudian yang tamat tempoh pada 31 Dis 2022.

Yusrizal seterusnya menggesa Kerajaan Persekutuan bertindak segera bagi memastikan bekalan barangan keperluan termasuk telur dan minyak masak paket mencukupi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina akan datang.

“Ada yang merasa bimbang bekalan bahan-bahan ini tidak mencukupi berikutan pengguna masih mencarinya. Walaupun bekalan telur di pasar raya besar sudah kembali pulih, namun kekurangan bekalan di kedai-kedai runcit masih berlaku.

“Bukan bekalan telur sahaja, minyak masak paket juga sukar didapati dan isu ini sudah lama berlaku, sehingga kini masih belum ada penyelesaian,” katanya.

Seorang peniaga runcit di pasar besar itu, Milatul Shamsul Mohd Fauzi, 36, berkata peniaga runcit masih sukar mendapatkan bekalan telur dan minyak masak paket manakala jumlah yang terhad juga menyebabkan barangan keperluan itu habis dijual dalam tempoh singkat sehingga menyebabkan ramai pelanggan merungut kerana tiada bekalan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan