GEORGE TOWN, 19 Jun (Bernama) -- Sebanyak 11 premis diarah tutup dan 170 notis kompaun dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Kesihatan Awam (OSKA) yang berlangsung di seluruh negeri ini selama tiga hari berakhir semalam.
Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam kenyataan memaklumkan notis pelbagai kesalahan di bawah empat undang-undang berkaitan kesihatan awam itu melibatkan kompaun sebanyak RM51,450.
"Ia melibatkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), Akta Makanan 1983 (Akta 281), Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Akta 154) serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2025 (Akta 342).
"Sebanyak 78 premis makanan diperiksa dan 73 notis dikeluarkan dengan nilai kompaun RM22,450 serta 10 premis diarahkan tutup serta-merta kerana gagal mematuhi piawaian keselamatan makanan," menurut kenyataan itu hari ini.
JKNPP memaklumkan sebuah taska turut diarahkan tutup di bawah Akta 342 selepas didapati berisiko menyebarkan jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Menurut kenyataan itu sebanyak 96 premis diperiksa di bawah Akta 852 dan 78 kompaun bernilai RM19,500 dikeluarkan kerana kesalahan merokok di kawasan larangan, pemilik premis gagal mempamerkan tanda larangan merokok serta menyediakan kelengkapan merokok di premis larangan merokok.
"Bagi Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 pula, sebanyak 3,533 premis diperiksa dan 19 notis dengan nilai kompaun berjumlah RM9,500 telah dikeluarkan.
"Selain itu, lima notis arahan kerja pembersihan dikeluarkan kepada premis berisiko menyebabkan pembiakan nyamuk aedes dan JKNPP akan meneruskan operasi seumpama itu sebagai langkah meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang kesihatan awam serta memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan persekitaran yang bersih, selamat dan sihat," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial