AM

Daripada balada ke keroncong, Siti Nurhaliza pukau peminat di Johor

19/12/2022 09:52 PM

JOHOR BAHRU, 19 Dis (Bernama) -- Daripada persembahan lagu-lagu balada ke keroncong, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin memukau lebih 4,000 peminat dalam persembahan eksklusif “A Night To Remember” yang berlangsung selama dua hari, di bandar raya ini pada Jumaat dan Sabtu lepas. 

Ini merupakan kali pertama selepas 10 tahun penyanyi tersohor itu kembali membuat persembahan ke Pusat Kovensyen Antarabangsa Persada Johor yang dihadiri SitiZoners dari pelbagai pelosok negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah serta negara jiran Singapura.

Persembahan bermula pada pukul 8.30 malam itu, dimulakan dengan penampilan Khai Bahar sebagai pembuka acara yang menyanyikan lagu Luluh dan Bayang, sebelum menjemput rakan duetnya Aina Abdul untuk menyanyikan lagu Nafas Cinta.

Aina Abdul yang mendedikasikan permulaan kerjayanya sebagai penyanyi kepada Siti Nurhaliza, kemudiannya mempersembahkan lagu Terus Hidup dan Semalam, sekali gus menaikkan semangat penonton yang nampaknya tidak sabar menantikan kemunculan penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu.

Tampil dengan busana berwarna hitam tepat pukul 9.15 malam, Siti Nurhaliza “muncul” dengan lagu 7 Nasihat yang turut menyaksikan penyanyi nombor satu negara itu bersahaja dalam menyanyikan bait-bait kata lirik lagu ‘rap’ yang asalnya dinyanyikan oleh Kmo Kmo dan Luca Sickta.

Seperti setiap persembahannya, Siti Nurhaliza tidak pernah melupakan lagu-lagu yang menjadi siulan peminat sehingga menaikkan kariernya ke tahap sekarang menerusi medley lagu Nian Di Hati, Bicara Manis, Kuasa Cintamu, Bukan Cinta Biasa, Terbaik Bagimu, Janji Kasih dan Kau Kekasihku.

Kesemua lagu tersebut tampil “fresh” dengan kesemua disusun semula dengan muzik baharu dengan pimpinan komposer Aubrey Suwito serta barisan pemuzik handalan yang turut menampilkan pemuzik perkusi terkenal kelahiran Brooklyn New York, Steve Thornton.

 “Saya sudah 27 tahun dalam industri dengan lebih 20 buah album serta merakam lebih 200 lagu. Bukan apa, nak cerita, untuk gabungkan 200 lebih lagu dalam satu persembahan dalam satu malam bukanlah sesuatu yang mudah.

“Itu sebab saya gembira Aubrey Suwito ada bersama saya, daripada saya mula buat konsert pertama dan lihat saya membesar di depan mata dia.

“Saya juga rasa bahagia peminat-peminat saya sangat istimewa kerana menyokong saya daripada mula sehingga sekarang ini,” kata penyanyi itu ketika mengucapkan penghargaannya kepada peminat dan komposer berkenaan selepas selesai menyampaikan tiga lagu pertamanya.

Menurutnya, kesemua lagu yang disusun semula muziknya itu, merupakan “hadiah” kepada peminat-peminatnya yang tidak putus-putus menyokongnya sejak kemunculannya di arena muzik tanah air sejak awal 90-an, selepas muncul pemenang Bintang HMI pada 1995.

Walaupun beberapa hari sebelum ini Siti Nurhaliza kelihatan tidak sihat kerana pernah dijangkiti COVID-19, namun memasuki segmen kedua persembahan, beliau tetap bertenaga serta sempat beramah mesra dengan peminat di bawah pentas sebelum menyanyikan lagu Aku Bidadari Syurgamu yang turut menjadi lagu tema drama bersiri popular “7 Hari Mencintaiku”.

Penyanyi berusia 42 tahun itu kemudiannya berduet dengan Khai Bahar menerusi lagu yang asalnya dinyanyikan bersama penyanyi Indonesia Cakra Khan iaitu Seluruh Cinta.

Memasuki segmen ketiga, Siti Nurhaliza yang tampil dengan busana tradisional berwarna kuning, mengembalikan memori peminat dengan kenangan bersama komposer Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah.

Lagu Hati Kama, yang menaikkan nama penyanyi berkenaan dalam genre Irama Malaysia, dinyanyikan semula penyanyi itu bersama Aina Abdul sebelum mempersembahkan medley lagu popularnya Biarlah Rahsia dan Demi Kasih Sayang yang disusun semula dengan irama keroncong sebagai penghargaan kepada orang Johor.

Lebih menggamatkan apabila persembahan hampir tiga jam itu disudahi dengan lagu Seindah Biasa dan Rentak 106 dengan irama joget sambil mengajak penonton menari bersama, ternyata mendedahkan teaser kepada peminat akan konsert berskala besar Siti Nurhaliza yang bakal diadakan pada tahun hadapan.

Pengurus Besar Persada Johor David Emir Bareng berkata persembahan penyanyi megastar pertama kali di venue berkenaan bakal menjadi perintis persembahan eksklusif tahunan yang dirancang dalam mengetengahkan bakat-bakat di dalam industri muzik tempatan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan