Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Anwar, Modi Bincang Potensi Perdagangan, Pelaburan Dan Cadangan Kampus IIT Di Malaysia

07/07/2025 07:46 AM

Daripada Arul Rajoo Durar Raj

RIO DE JANEIRO, 6 Julai (Bernama) -- Pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi di sela-sela Sidang Kemuncak BRICS ke-17 telah menyentuh potensi perdagangan, pelaburan dan cadangan penubuhan kampus Institut Teknologi India (IIT) di Malaysia.

“Kami meneliti potensi besar untuk memperluas kerjasama strategik Malaysia dan India dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, teknologi digital dan pertahanan,” kata beliau.

Anwar berkata beliau turut mengalu-alukan minat syarikat India untuk melabur dalam sektor masa depan di Malaysia seperti ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu dan industri aeroangkasa.

“Kami juga komited untuk terus memperkukuh hubungan antara rakyat melalui kerjasama dalam bidang kebudayaan, pelancongan dan pendidikan termasuk cadangan penubuhan kampus Institut Teknologi India (IIT) di Malaysia,” kata beliau dalam satu kenyataan selepas pertemuan tersebut.

IIT ialah kumpulan institut kejuruteraan dan teknologi terkemuka di India.

Kedua-dua pihak turut menegaskan pentingnya memastikan keamanan dan kestabilan serantau serta menyuarakan sokongan terhadap penyelesaian adil dan aman bagi isu-isu antarabangsa seperti Palestin dan Jammu-Kashmir.

Malaysia menyambut baik usaha memperkukuh hubungan ASEAN dan India menjelang Sidang Kemuncak ASEAN–India pada Oktober ini, selaras dengan semangat kerjasama yang saling menguntungkan.

“Semoga hubungan erat Malaysia dan India terus berkembang demi manfaat dan kesejahteraan bersama rakyat kedua-dua negara,” kata beliau. 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan menyifatkan walaupun pertemuan itu ringkas tetapi padat dengan pengisian bermakna.

Kali terakhir pertemuan mereka adalah semasa Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-21 di Laos tahun lepas.

Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada pertemuan itu. Turut hadir Menteri Hal Ehwal Luar India S. Jaishankar.

Malaysia merupakan rakan perdagangan ketiga terbesar India di ASEAN, dengan jumlah perdagangan bernilai RM85.26 bilion (US$20.02 bilion) pada 2023-2024, menyumbang kira-kira 17 peratus daripada jumlah perdagangan India dengan ASEAN.

Anwar tiba pada Sabtu untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 yang dihoskan oleh Brazil atas jemputan Presidennya, Luiz Inácio Lula da Silva.

Malaysia secara rasmi menjadi Negara Rakan BRICS pada 1 Januari lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan