AM

Melaka Sambut Baik Hasrat Penggiat Seni Hidupkan Semula Tarian Ronggeng

03/07/2025 10:02 AM

MELAKA, 2 Julai (Bernama) -- Kerajaan Melaka menyambut baik hasrat penggiat seni di negeri itu untuk menghidupkan kembali tarian ronggeng sebagai daya tarikan baharu pelancongan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata usaha itu, akan dilakukan dengan teliti dan mengambil kira semua aspek bagi memastikan seni tari tradisional itu dapat diangkat tanpa melanggar hukum syarak ditetapkan.

“Cadangan untuk menghidupkan semula ronggeng atau lebih dikenali sebagai joget lambak ini amat menarik, kerana ia memang bermula di Melaka namun semakin dilupakan.

“Jadi kita akan menghidupkan semula tarian tradisional ini secara impromptu, selagi tidak melanggar hukum syarak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutup Bicara Seni Budaya sempena Program Rentak Bertandak Antarabangsa Melaka, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ab Rauf turut menerima buku Resolusi Bicara Seni Budaya yang disampaikan Pengarah Eksekutif Nusantara Performing Arts Research Center Prof Dr Mohd Anis Md Nor.

Ab Rauf berkata usaha mengangkat semula tarian ronggeng berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka dengan beberapa pihak lain.

Beliau berkata ronggeng mempunyai keistimewaan tersendiri dan mampu diangkat sebagai antara aset pelancongan negeri seperti Dondang Sayang.

“Menerusi seni tari ronggeng juga, elemen pantun dapat diselitkan sekali gus mengangkat semua budaya dan seni masyarakat Melayu ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Ab Rauf berkata Resolusi Bicara Seni Budaya yang dirumuskan menerusi program itu, akan diberi perhatian oleh kerajaan negeri, dalam usaha untuk terus memperkasakan seni dan budaya di Melaka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan