AM

Melaka pergiat pembangunan, pembudayaan hijau menuju negeri lestari

10/12/2022 10:24 AM

MELAKA, 10 Dis (Bernama) -- Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) akan mempergiatkan pembangunan dan pembudayaan hijau melalui pelbagai program dalam kalangan lapisan masyarakat sebagai usaha merealisasikan hasrat menuju negeri lestari.

Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin berkata antara usaha itu ialah menggalakkan program pemasangan solar di bumbung-bumbung masjid di negeri ini bagi memastikan teknologi hijau diaplikasi selain memberi penjimatan penggunaan elektrik.

"Penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui melalui panel solar ini juga telah mula digunakan di beberapa bangunan kerajaan dan kita berharap usaha ini akan diperluas di bangunan lain milik pihak swasta dan perumahan menerusi skim 'Net Energy Metering'.

"Selain itu, pembudayaan hijau di peringkat akar umbi bagi Program Eco-Schools Melaka diperkenal dan sedang dilaksana di 131 sekolah berdaftar dan 17 sekolah telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita di Ayer Keroh di sini malam tadi.

Terdahulu, beliau menyempurnakan penyampaian Anugerah Hijau Melaka 2022 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PTHM Datuk Dr Abu Bakar Mohd Diah.

Mengulas lanjut, Rais berkata kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 100 sekolah akan mendapat pengiktirafan Green Flag dalam program Eco-Schools menjelang 2035.

Dalam pada itu, beliau berkata Anugerah Hijau Melaka itu diadakan bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada jabatan dan agensi yang komited mengamalkan inisiatif hijau dan langkah paling inovatif di samping memelihara alam sekitar.

"Anugerah ini meliputi empat kategori iaitu pembudayaan hijau, projek hijau, inovasi hijau dan program komuniti hijau yang menawarkan pingat emas, perak dan gangsa bagi setiap kategori," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Alam Sekitar Pintar Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Prof Madya Dr Musthafah Mohd Tahir berkata dua pingat emas yang dimenangi universiti itu bagi kategori inovasi hijau dan pembudayaan hijau ialah satu pengiktirafan berharga untuk meneruskan inisiatif hijau.

"UTeM telah melaksanakan banyak program berkaitan teknologi hijau ini antaranya kecekapan guna tenaga iaitu berjaya mencatatkan penjimatan penggunaan tenaga sebanyak RM9 juta dalam tempoh enam tahun dan pelbagai lagi," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan