AM

Siri Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah Diperkenal, Angkat Pemikiran Tokoh Islam - Zulkifli

18/06/2026 02:37 PM

PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan melaksanakan Siri Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah sebagai inisiatif baharu untuk mengarusperdanakan pemikiran tokoh Islam yang dinobatkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata inisiatif itu diwujudkan bagi memastikan pemikiran tokoh Maal Hijrah tidak hanya terhad dalam lingkungan akademik atau kelompok tertentu sebaliknya dapat disebarluaskan di semua peringkat.

“Kita tidak boleh biarkan tokoh-tokoh ini, pemikiran mereka hanya berada di dalam bilik, hanya berada di dalam lingkaran yang kecil. 

“Insya-Allah, kita akan mengarusperdanakan dan merakyatkan pemikiran tokoh-tokoh Maal Hijrah kita,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan dan Antarabangsa 1448H/2026M, di sini, hari ini.

Zulkifli berkata cadangan itu mendapat sambutan baik daripada agensi hal ehwal agama serta rakan strategik termasuk Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau berkata kerjasama itu akan diperluaskan dengan melibatkan lebih banyak universiti dan institusi bagi memastikan pemikiran tokoh Maal Hijrah dapat disebarluaskan kepada masyarakat.

“Doakan kami semua untuk kita gerakkan cetusan gelombang pemikiran tokoh Maal Hijrah untuk dinikmati oleh masyarakat bukan hanya orang Islam tetapi juga orang bukan Islam.

“Ini kerana pemikiran Islam yang wasati, inklusif dan rahmat ini adalah universal. Yang sememangnya bersesuaian dengan semua masa, zaman serta bersesuaian dengan setiap ideologi dan juga perkembangan semasa dan akhir zaman,” katanya.

Pada majlis itu, Zulkifli turut menzahirkan penghargaan terhadap Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar yang menerima Anugerah Tokoh Kebangsaan serta Prof Sheikh Dr Ahmad Al-Raysuni yang menerima Anugerah Tokoh Antarabangsa. 

Semalam, Osman dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pada majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1448/2026 di Masjid Putra, Putrajaya manakala Ahmad Al-Raysuni, pakar fiqah Islam dari Maghribi diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang berkenan mengurniakan wang tunai, trofi dan sijil penghargaan kepada dua tokoh berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan