KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menggariskan tiga keutamaan untuk memulihkan keyakinan pelabur berikutan ekonomi global yang dijangka perlahan pada 2023 antaranya memastikan perdagangan kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama.
Beliau berkata keutamaan kedua ialah memulihkan keyakinan pelabur dan meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan ketiga;memastikan penggubalan dan/atau pelaksanaan mana-mana perjanjian perdagangan dua hala mahupun pelbagai hala akan memberikan nilai dan kelebihan padu kepada pemain domestik dalam rantaian bekalan Malaysia terutamanya bagi PKS kecil dan mikro.
Dalam kenyataan hari ini beliau berkata peningkatan FDI diperlukan memandangkan ia telah lama menjadi pembina utama daya tahan ekonomi selain merupakan antara sumber tukaran mata wang asing terbesar negara.
Memanfaatkan pengalamannya di Kementerian Kewangan serta pengalaman korporat sebelum ini, Tengku Zafrul berkata beliau akan memastikan kementerian yang baru diterajuinya itu akan terus menjadi pemacu untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelabur serta antara negara kekal berdaya saing global dari segi perdagangan.
“Melalui Bajet 2023 yang bakal dibentangkan semula di Parlimen, MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) akan mencadangkan pewujudan dana pelaburan khas bagi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tambah tinggi yang bakal menjana peluang pekerjaan profesional bergaji lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata antara industri yang menjadi tumpuan ialah industri elektrik dan elektronik (E&E) yang merangkumi pembangunan aplikasi berasaskan teknologi frekuensi radio dan bluetooth bagi industri automotif, penarikan pelabur sektor E&E ke Malaysia dan pembangunan industri peranti perubatan.
Industri berasaskan teknologi lain yang turut diberi perhatian adalah aeroangkasa, kimia dan petrokimia, nanoteknologi, teknologi kesihatan dan pembuatan pintar, katanya.
Beliau berkata usaha tersebut akan disesuaikan dengan langkah-langkah pembangunan modal insan yang bakal menyumbang kepada penstrukturan semula ekosistem perdagangan Malaysia bagi jangka masa sederhana dan panjang.
“Saya juga akan memulakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dalam komuniti perdagangan sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa untuk memastikan kita mengekalkan atau menambah baik daya saing ekosistem perdagangan Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial