EKONOMI

JS-SEZ Bakal Raih Manfaat Daripada Kolaborasi Dengan Itali, Rakan Eropah - Akmal Nasrullah

01/07/2026 01:38 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Kolaborasi dengan Itali dan rakan kongsi Eropah yang lain akan memainkan peranan penting dalam menyokong Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada bidang seperti pembangunan kemahiran, latihan industri, pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), penyelidikan, serta perkongsian antara universiti dan industri.

"Pelaburan tidak seharusnya diukur semata-mata melalui penggunaan tanah, hasil pengeluaran atau komitmen modal, tetapi juga melalui pengetahuan, kemahiran dan peluang yang dicipta untuk rakyat.

"Perkongsian yang dilakukan ini dapat memberikan pendedahan langsung kepada golongan muda Malaysia terhadap teknologi bertaraf dunia dan membina keupayaan yang diperlukan untuk menjadi jurutera, inovator, usahawan dan pemimpin masa depan," katanya dalam ucapan perasmian Forum Eksekutif JS-SEZ 2026 di sini hari ini.

Akmal Nasrullah berkata terdapat juga ruang untuk memperluas kerjasama dalam pemindahan teknologi, ekosistem inovasi, piawaian, amalan kemampanan dan transformasi digital supaya pelaburan dalam JS-SEZ dapat menghasilkan keupayaan industri yang lebih kukuh serta menjana pertumbuhan mampan jangka panjang.

Beliau berkata dalam persekitaran global yang lebih kompleks, kolaborasi menjadi semakin penting; oleh itu, ekonomi yang akan berjaya adalah ekonomi yang membina perkongsian berteraskan kepercayaan, menghubungkan ekosistem inovasi dan mewujudkan rangkaian pertumbuhan yang berdaya tahan.

"Sehubungan itu, inilah sebabnya mengapa perkongsian antara Malaysia, Singapura, Itali dan komuniti perniagaan Eropah yang lebih luas adalah sangat penting," katanya.

Akmal Nasrullah menyatakan banyak syarikat di seluruh Kesatuan Eropah diiktiraf atas kecemerlangan mereka dalam pembuatan termaju, kejuruteraan, automasi, kemampanan, reka bentuk industri dan inovasi -- bidang di mana JS-SEZ boleh berfungsi sebagai platform penting bagi pertumbuhan masa depan.

"Kami melihat potensi yang kuat dalam sektor semikonduktor dan elektronik, pembuatan termaju, kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, tenaga hijau, infrastruktur mampan, logistik, mobiliti pintar dan sektor bernilai tinggi yang lain.

"Peluang dalam sektor ini adalah sebahagian daripada peralihan serantau yang lebih luas. Rantaian bekalan semakin dipelbagaikan. Industri dipacu oleh teknologi. Syarikat perniagaan pula sedang mencari rakan kongsi yang dipercayai di Asia," kata beliau.

Sementara itu, Duta Besar Itali ke Malaysia Raffaele Langella berkata Itali tidak hanya melihat kepada jumlah pelaburan dalam JS-SEZ, sebaliknya memberi penekanan yang lebih besar kepada projek berkualiti tinggi yang dapat memenuhi keperluan syarikat-syarikat Itali dan membolehkan mereka berintegrasi dalam ekosistem industri yang lebih luas.

"Kami mempunyai syarikat yang agak banyak dalam sektor logistik serta minyak dan gas, selain syarikat penyedia latihan untuk industri teknologi tinggi, yang merupakan sektor di mana kami sedang melabur secara besar-besaran.

“Saya percaya salah satu syarikat dalam sektor itu tidak lama lagi akan berusaha melawat zon ekonomi khas berkenaan. Kami sedang berusaha untuk ini dan bilangan syarikat Itali yang melabur secara langsung dalam inisiatif sedemikian terus meningkat setiap hari,” katanya pada sidang akhbar di forum itu hari ini.

Forum Eksekutif JS-SEZ 2026 menghimpunkan lebih 250 penggubal dasar, pemimpin perniagaan, pelabur dan pemegang taruh industri untuk menerokai koridor ekonomi Malaysia-Singapura sebagai pintu masuk strategik bagi syarikat-syarikat Eropah yang ingin berkembang ke dalam pasaran ASEAN.

Dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dalam peranannya sebagai agensi pemudah cara utama untuk JS-SEZ, forum berkenaan memperkukuh komitmen IRDA untuk memacu pelaburan, memudahkan padanan perniagaan dan memupuk kerjasama industri yang strategik dalam ekosistem ekonomi merentas sempadan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan