EKONOMI

Untung bersih suku kedua Panasonic Malaysia naik 16 kali ganda kepada RM42.6 juta

30/11/2022 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd meningkat lebih 16 kali ganda kepada RM42.60 juta pada suku kedua berakhir 30 Sept 2022 berbanding RM2.66 juta sebelum ini berikutan perolehan tinggi dan keuntungan pertukaran asing.

Pengeluar elektronik itu turut mencatatkan lonjakan perolehan 106.6 peratus atau RM292.85 juta pada suku tersebut daripada RM141.73 juta.

“Perolehan tinggi terutamanya disebabkan pembukaan semula pasaran sepenuhnya dan pemulihan pada tahun ini,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Selain itu, menyelesaikan permintaan tertunggak akibat banjir pada tahun lepas turut diteruskan pada suku dalam kajian terutamanya produk kipas yang berjaya disiapkan pada akhir September.

Bagi enam bulan pertama tahun fiskal, kumpulan itu meraih keuntungan bersih sebanyak RM54.06 juta dan perolehan berjumlah RM536.52 juta berikutan pembukaan semula ekonomi dan pemulihannya.

Syarikat meramalkan bahawa tahun kewangan semasanya akan terus mengalami cabaran berikutan pertumbuhan global yang dijangka lembap pada tahun depan dalam keadaan persekitaran inflasi tinggi.

“Meskipun tekanan yang meningkat dari segi keuntungan, kami akan kekal fokus dalam mempamerkan pertumbuhan mampan bagi tahun kewangan yang berbaki.

“Kami akan sentiasa berwaspada untuk memantau situasi yang tidak menentu selain memperkukuh kecekapan dalaman menerusi langkah mengurangkan kos,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan