AM

Hujan lebih sejam, longkang tersumbat punca air melimpah ke lebuhraya Kajang silk - Bomba

30/11/2022 08:06 PM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Hujan lebat dan longkang tersumbat menyebabkan air melimpah kira-kira hampir satu meter (m) ke Lebuhraya Kajang SILK di laluan Putrajaya menghala Sungai Ramal Luar, Kajang kira-kira 5 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu, lapan buah jentera dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang telah digerakkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, hasil pemeriksaan oleh pihak bomba mendapati berlaku limpahan air ke jalan raya dipercayai akibat longkang tersumbat susulan hujan lebat selama lebih sejam.

“Anggaran kedalaman air ialah tiga kaki (0.91m) menyebabkan laluan terlibat tidak dapat dilalui oleh sebarang kenderaan ringan. Bagaimanapun, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata tinjauan yang turut dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan syarikat pengendali lebuh raya berkenaan mendapati air surut kira-kira 30 minit kemudian.

“Pegawai Komander Operasi BBP Kajang bersama-sama PDRM telah membantu melancarkan aliran trafik dan tiada kerja-kerja penyelamatan mangsa dibuat," katanya. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan