AM

LRT Kelana Jaya: Bas perantara bantu kurang kesesakan, masa menunggu pengguna

10/11/2022 10:18 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Penambahan perkhidmatan bas perantara bermula dari 6 pagi hari ini membantu mengurangkan kesesakan serta masa menunggu pengguna untuk menaiki bas susulan penutupan 16 stesen tren Transit Aliran Ringan (LRT) antara Kelana Jaya dan Ampang Park sejak semalam.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan malam ini memaklumkan bas perantara itu merupakan langkah tambahan diambil pihak Rapid KL dan digerakkan di stesen-stesen sepanjang laluan LRT Kelana Jaya bagi membantu mengawal pergerakan serta memberi arah kepada penumpang yang terjejas.

“Sejumlah 107 bas perantara merangkumi lima laluan digunakan hari ini terdiri daripada bas Rapid KL serta bas Smart Selangor dan MARA Liner. Setakat 5.30 petang ini, situasi di stesen-stesen terkawal, dibantu anggota polis bantuan dan kakitangan Prasarana (Malaysia Bhd) yang ditambah untuk memantapkan kawalan pergerakan penumpang,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Rapid Rail memaklumkan pasukan kejuruteraan pihaknya bersama pengilang peralatan asal (OEM) Thales Group  telah menjalankan ujian bagi menentukan kestabilan sistem.

“Bermula 10 malam semalam hingga 5 pagi ini, pihak Rapid Rail menjalankan ujian pergerakan tren LRT Laluan Kelana Jaya antara stesen Ampang Park dan Stesen KLCC. Ujian ini akan dipanjangkan untuk merangkumi keseluruhan jajaran LRT Laluan Kelana Jaya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan