Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka mengekalkan prospek jangka pendek yang positif disokong oleh pengurangan kebimbangan geopolitik, sentimen risiko global yang bertambah baik serta persekitaran makroekonomi domestik yang stabil.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan serta Pakar Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata para peserta pasaran bagaimanapun akan terus memantau perkembangan berkaitan bank pusat global dan rundingan geopolitik bagi mendapatkan hala tuju selanjutnya.
"Laporan mengenai Amerika Syarikat dan Iran sedang terlibat dalam rundingan ke arah potensi perjanjian diplomatik yang turut disahkan oleh agensi berita separa rasmi Iran, Mehr News Agency bahawa perbincangan sedang berjalan, mencetuskan keyakinan terhadap pengurangan ketegangan di Asia Barat.
"Ini sekali gus melonjakkan ekuiti global dan menurunkan harga minyak," kata beliau.
Prospek pengurangan risiko geopolitik sepatutnya menyediakan persekitaran yang menyokong bagi pasaran serantau termasuk Malaysia, tambahnya.
Mohd Sedek turut memberitahu acara luar negara yang penting pada minggu depan ialah mesyuarat dasar Bank of Japan pada Selasa manakala bagi pasaran domestik pula, perhatian akan beralih kepada data Indeks Harga Pengguna Malaysia yang dijadualkan dikeluarkan pada Jumaat.
"Data inflasi berkenaan akan memberikan petunjuk penting mengenai trajektori fiskal negara dan pendirian dasar masa depan Bank Negara Malaysia," kata beliau.
Bagi minggu yang baru berakhir, kontrak niaga hadapan FBM KLCI menyaksikan dagangan yang tidak menentu seiring dengan pasaran tunai.
Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, kontrak Jun 2026 meningkat 0.5 mata kepada 1,689.5, kontrak Julai 2026 naik satu mata kepada 1,692.0, kontrak September 2026 melonjak 1.5 mata kepada 1,672.5 dan kontrak Disember 2026 berada pada paras 1,673.0.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 39,538 lot daripada 38,150 lot pada minggu lepas manakala kepentingan terbuka menguncup kepada 31,623 kontrak daripada 35,257 kontrak ketika ditutup minggu sebelumnya.
Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, indeks FBM KLCI turun 9.8 mata kepada 1,683.63 daripada 1,693.43 ketika ditutup seminggu sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial