DUNIA

Pasaran Getah Dijangka Tidak Menentu, Trend Menurun Sedikit Minggu Depan

13/06/2026 11:07 AM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka kekal tidak menentu pada minggu depan, dengan sedikit penurunan disebabkan ketidaktentuan global yang berterusan, kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata jangkaan itu dipengaruhi oleh perkembangan di Asia Barat dan keadaan cuaca yang tidak menentu di kawasan utama pengeluar getah.

Low berkata taburan hujan lebat di beberapa kawasan pengeluaran berkemungkinan besar menjejaskan aktiviti penorehan susu getah, sekali gus memberi tekanan kepada pengeluaran dan produktiviti getah.

"Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan hujan tambahan di kawasan utara Thailand, dengan hujan lebat sehingga sangat lebat dijangka berlaku di kawasan hulu Utara, hulu Timur Laut, Timur dan di sepanjang pantai barat Selatan.

"Terdapat juga laporan Pihak Berkuasa Getah Thailand merancang untuk menjual sejumlah besar stok simpanan getah. Walaupun ada pendapat yang membayangkan penjualan itu tidak akan menjejaskan harga, jumlah yang cukup besar masih boleh memberikan sedikit tekanan kepada pasaran," katanya.

Low menjangkakan sentimen pasaran akan kekal berhati-hati di tengah-tengah konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran, walaupun harapan terhadap kemungkinan perjanjian damai baru-baru ini telah memberikan sedikit sokongan kepada keyakinan pelabur.

Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) susut 8.5 sen kepada 928.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal meningkat 19.0 sen kepada 781.00 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan