EKONOMI

RHB tubuh jawatankuasa kelestarian untuk ESG

29/09/2022 01:59 PM

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- RHB Banking Group (RHB) mengumumkan penubuhan jawatankuasa kelestarian lembaga (BSC) untuk membantu pihak lembaga pengarah dalam memacu agenda kelestarian dan berkaitan iklim kumpulan serta menyediakan pengawasan berhubung hal-hal alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Sebelum ini, lembaga pengarah kumpulan itu mempunyai pengawasan secara langsung berkenaan hal-hal kelestarian.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu berkata dengan pelancaran strategi dan pelan hala tuju kelestarian lima tahun (2022-2026) RHB, keputusan telah diambil untuk menubuhkan BSC bagi membolehkan perbincangan yang lebih fokus dan mendalam di peringkat tertinggi mengenai perkara berkaitan kelestarian dan iklim.

BSC dipengerusikan oleh Datuk Iain John Lo dan ahli-ahlinya yang terdiri daripada Tan Sri Rebecca Fatima Sta Maria, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif dan Donald Joshua Jaganathan yang kesemuanya mempunyai pengalaman kepimpinan yang luas dan pemahaman yang kukuh tentang hal-hal kelestarian.

"BSC akan memainkan peranan penting dalam menyediakan pengawasan strategik ke atas kelestarian dan strategi serta tindakan berkaitan iklim kumpulan itu ke arah memastikan kami terus mencapai keseimbangan yang betul merentasi tiga garis utama planet, manusia dan keuntungan," kata Iain.

Bank itu berhasrat untuk menggerakkan RM20 bilion dalam perkhidmatan kewangan lestari menjelang 2026 yang bersamaan dengan kira-kira tujuh peratus daripada jumlah aset kumpulan setakat Dis 2021.

Sehingga Jun 2022, pencapaian terkumpul berjumlah lebih RM 11 bilion.

Berkuat kuasa Jan 2022, RHB berkata ia tidak lagi meneruskan peluang atau menyediakan kemudahan pembiayaan untuk mana-mana projek lombong arang batu termal baharu dan projek loji janakuasa arang batu.

Bank itu juga telah mengamalkan pendirian tiada penebangan hutan, tanpa gambut dan tanpa eksploitasi  (NDPE) untuk sektor minyak sawit, perhutanan dan pertanian dan hanya akan menyokong syarikat yang bertanggungjawab yang menunjukkan penjajaran dengan pendirian NDPEnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan